Fakulti Pengurusan Maklumat (Kajian Sains Perpustakaan) telah ditubuhkan dengan matlamat untuk membentuk dan menyelenggarakan rancangan pendidikan yang sesuai bagi memenuhi keperluan tenaga manusia di Malaysia dalam bidang Sains Perpustakaan dan Maklumat.

Bermula pada bulan Jun 1968 kajian ini menyediakan pelajar-pelajar untuk kursus luaran iaitu “The Library Association Professional Examination di United Kingdom yang dikendalikan di bawah Jabatan Sains Perpustakaan, Kajian Pentadbiran dan Undang-Undang, ITM. Pada bulan Julai 1969, Kursus Librarianship (UK) dipindahkan ke Kajian Sains Perpustakaan yang menyediakan pelajar-pelajar untuk peperiksaan luar bagi A.L.A (Associate of the Library Associations) (UK).

Pada 03 Julai 1972, Kajian Sains Perpustakaan mula ditubuhkan secara rasmi dengan menawarkan kursus dalaman yang pertama iaitu Kursus Diploma In Library Science. Penubuhan kajian ini selari dengan perkembangan dalam pertumbuhan dan perancangan perpustakaan serta berorientasikan kepada keadaan di Malaysia pada ketika itu. Satu memorandum telah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 1974 bagi mengiktiraf Diploma in Library Science ITM setaraf dengan Sarjana Muda Kepujian daripada Universiti yang diiktiraf pada ketika itu dan telah pun diluluskan.

Pada tahun 1979, nama kajian ini telah diubah kepada Kajian Sains Perpustakaan dan Maklumat untuk mencerminkan beberapa perubahan baru yang telah dibuat semasa proses semakan kurikulum. Dalam kurikulum kajian ini, perseimbangan adalah dikekalkan di antara teori dan praktik dan di antara matapelajaran ikhtisas dan akademik supaya pelajar-pelajar mendapat kemahiran yang mencukupi dalam bidang professional serta memperolehi pendidikan akademik yang luas. Dalam usahanya untuk mendedahkan pelajar kepada suasana persekitaran perpustakaan yang sebenar, kajian ini yang diletakkan di  Kampus Jalan Othman, Petaling Jaya mempunyai perpustakaan sendiri di mana pelajar menjalani latihan praktik setiap hari di samping mengikuti kuliah yang berbentuk teori dari masa ke semasa.

Ketua-Ketua Pengajian/ Dekan yang telah berkhidmat bermula dari Kajian Sains Perpustakaan (1970-1978), Kajian Sains Perpustakaan dan Maklumat (1979-1996), Fakulti Pengajian Maklumat (1997-2005) sehingga ke Fakulti Pengurusan Maklumat (2005 – kini) adalah : 

Bil. Tahun Ketua-Ketua Pengajian/ Dekan
1. 03 Julai 1972 - 30 Jun 1973 R. Nadarajah (Mrs.)
2. 01 Julai 1973 - 15 Ogos 1974 Dr. Oli Mohamed Abdul Hamid
3. 01 Jan 1975 - 31 Julai 1978 Molina S. Nijhar (Mrs.)
4. 01 Ogos 1978 - 30 Jun 1981 Dr. Oli Mohamed Abdul Hamid
5. 01 Julai 1981 - 31 Julai 1984 Dr. Katni Kamsono Kibat
6. 01 Ogos 1984 - 30 Nov 1985 Profesor Dr. Szarina Abdullah
7. 01 Dis 1985 - 30 Nov 1987 Dr. Katni Kamsono Kibat
8. 01 Dis 1987 - 30 Nov 1989 Puan Norma Abu Seman
9. 01 Jan 1990 - 31 Dis 1990 Profesor Dr. Szarina Abdullah
10. 01 Jan 1991 - 31 Dis 1994 Puan Fuziah Hj, Mohd Nazar
11. 01 Jan 1995 - 31 Dis 2001 Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob 
12. 2002 – 2007 Profesor Madya Dr. Laili Hashim 
13. 2008 – 2009 Profesor Madya Dr. Adnan Jamaludin 
14. 2010 – 2013 Profesor Madya Dr. Laili Hashim 
15. 2014 – 2016 Prof. Madya Dr. Mohd Sazili Shahibi 
16. 2017 – 2019 Prof. Dr. Sohaimi Zakaria
17. 2022 – 2023 Profesor Ts. Dr. Mohamad Noorman Masrek
18. 01 Mei 2025 - Sehingga kini Profesor Madya Dr. Norhayati Hussain

 

 

Kajian Sains Perpustakaan 1972, ITM Jalan Othman

Fakulti Pengurusan Maklumat 2013, UiTM Puncak Perdana

 


Sumber :

  1. Buku ITM Warisan Bangsa
  2. Jurnal Maklumat, Jilid 1, Jan 1986, (Szarina Shakir & Wong Tuck Cheong)