KONVOKESYEN KOMEMORATIF PERTAMA

Tahun Penganugerahan: 1997 - Allahyarham Posthumous Tun Haji (Dr) Abdul Razak Hussein

Sebagai mengenang jasa penglibatan Allahyarham Tun Abd. Razak yang tidak ternilai terhadap ITM, Jubah Konvokesyen Komemoratif telah direka khas untuk Penganugerahan Kehormat ke atas beliau.

Ketika mentari pagi dan suria petang melabuhkan cahaya pada menara ilmu di puncak bukit Shah Alam, bayangan menghampar lembah, memayungi putera bumi ini yang baru kecelekan ilmu.

Lebih empat dekad fajar menyinsing dan lembayung menyelubungi, namun bayangan itu tidak pernah usang. Walau menara ilmu yang berusia kira-kira tiga dekad semakin dimamah usia, sinarnya tetap segar. Rupa-rupanya, mentari pagi dan suria petang terlebih dahulu menyinari seorang putera yang bayangannya masih terasa ke hari ini dan ke hari-hari muka.

Pada Jumaat, 11 Mac 1922, di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, lahirlah Abdul Razak – putera kepada Dato’ Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah binti Daud. Kira-kira tiga dekad kemudian, bayangan seorang putera kecil itu membesar memayungi negara. Pembesaran bayangan itu bukan kerana putera semakin besar atau mentari semakin menjauh, tetapi kerana jasa-jasanya.

Khususnya, jasa Allahyarham dalam pendidikan bangsa amat terasa – lebih-lebih lagi kepada ITM yang menjadi harapannya.

Seorang bijak pandai pernah berkata: “Anugerah tertinggi bagi jasa seseorang bukan apa yang ia perolehi, tetapi apa yang ia jadi.”

Allahyarham Tun Abdul Razak adalah pemimpin berjiwa rakyat, menjadi contoh kepada semua.

Mengambil semangat Pidato Prof. Al-Attas kepada Pendita Za’ba, kita menyesuaikannya kepada putera bangsa yang kita kenangi hari ini:

“Bahawa Tun Abdul Razak tidak menjadi lebih mulia dengan anugerah ini, tetapi anugerah inilah yang menjadi mulia kerana dikaitkan dengan Allahyarham.”

Antara jasa Tun Razak yang tidak terhitung ialah:

  • Dasar Pelajaran Kebangsaan & Laporan Razak

  • FELDA, RIDA, FAMA, Bank Bumiputera

  • Pembukaan Pintu ke China, ASEAN, ZOPFAN

  • Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Allahyarham juga dikenang kerana kepimpinan yang rendah hati.

  • Pada tahun 1950, beliau menolak jawatan menggantikan Dato’ Onn, sebaliknya mencalonkan Tunku Abdul Rahman.

  • Ketika mengetuai MAGERAN, beliau gusar akan kuasa mutlak tanpa check and balance.

Itulah sifat pemimpin sejati – tidak taksub kepada kuasa, sebaliknya mengutamakan rakyat.

Tun Razak membawa visi besar: membangunkan sumber tenaga profesional dan usahawan bumiputera. Dalam zaman ketika pendidikan masih asing bagi bumiputera, beliau meletakkan asas pembangunan modal insan. Bermula dengan kursus sekecil “Pintal Tali Sabut”, akhirnya berkembang melahirkan ribuan profesional dan usahawan bangsa.

Graduan ITM adalah ibarat anak-anak Tun Razak, yang akan terus membawa mandat Allahyarham.

Dalam ucapannya pada 14 Jun 1967 kepada graduan Maktab MARA, beliau berpesan:

“…We in the government look to you all, graduates of this Maktab… to be the nucleus out of which will grow Malaysian business directors and executives. That is why… this Maktab MARA has an important and vital part to play.”

ITM adalah adunan teori dan amalan. Wasiat Allahyarham jelas:

“…Keep the teaching and ideology of this college very much down to earth with a practical approach… bear in mind that theory and highflown ideas are not the ingredients of success in business.”
(Majlis Graduasi Maktab MARA, 7 April 1967).

Nilai tambah ITM bukan sekadar melatih yang cemerlang, tetapi mendidik anak bangsa yang sederhana supaya menjadi berkualiti.

Tun Razak pernah berkata:

“I was so happy the other day during the opening of the new MARA Headquarters… Instead of inviting all VIPs in town, we invited leaders at kampung level throughout the country to be our VIPs for three days.”

Demikianlah, orang kampung sentiasa ada di sudut hati Allahyarham. Putera bangsa yang mengingati warganya akan terus diingati selagi mentari bercahaya.Berapa banyak watikah terkumpul, bayang-bayang jasanya tetap tidak bersempadan. Menelusuri jasanya adalah perjalanan yang tiada penghujung. Pidato ini tidak berupaya berlaku adil kepada Tun Razak, demikian juga anugerah ini. Namun, itulah hakikat betapa besarnya jasa Allahyarham kepada kita.

Sumber:

powered by social2s