Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik YABhg. Tun (Dr) Abdul Ghafar Baba
Istiadat Konvokesyen Komemoratif Keempat (2000)

Tun Ghafar Baba merupakan seorang tokoh politik dan negarawan Malaysia yang mempunyai perjalanan hidup yang menarik. Latar belakang keluarganya penuh cabaran – desakan kemiskinan telah membawa ibu bapanya berhijrah dari Melaka ke Kuala Pilah, tempat beliau dilahirkan. Namun, pada usia 8 tahun, beliau telah menjadi yatim piatu. Pengalaman hidup yang getir inilah yang membentuk jati dirinya sebagai pemimpin bersemangat tinggi.

Dalam sejarah kontemporari Malaysia, nama Tun Ghafar Baba layak dimartabatkan sebagai insan politik kerana penglibatan beliau dalam ketiga-tiga pergelutan utama negara: politik, ekonomi dan sosial. Beliau merupakan satu-satunya pemimpin era kemerdekaan yang kekal bertahan sehingga akhir hayatnya, dan satu-satunya tokoh politik yang tidak pernah gagal dalam pilihan raya.

Ketokohan beliau terbukti melalui penglibatan aktif dalam UMNO sejak tahun 1951. Bermula sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Melaka, beliau kemudian menyandang pelbagai jawatan penting, antaranya Naib Presiden UMNO selama 24 tahun, Setiausaha Agung UMNO selama 11 tahun, serta Setiausaha Agung Barisan Nasional juga selama 11 tahun. Dalam pentadbiran negara pula, beliau pernah menjadi Ketua Menteri Melaka (1957–1967), Senator dan Menteri Tanpa Portfolio (1967–1969), Menteri Pembangunan Luar Bandar (1969–1974), Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (1974–1976), serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar (1989–1993).

Sebagai pemimpin, Tun Ghafar dikenali sebagai tokoh karismatik dan tradisional yang dihormati kawan dan lawan kerana kemahiran komunikasinya. Beliau sering menjadi penyelamat dalam krisis, contohnya krisis perlembagaan 1983 dan krisis kepimpinan MCA. Malah, beliau pernah diberi kepercayaan mengetuai MCA pada tahun 1985 – suatu pencapaian luar biasa bagi seorang pemimpin bukan Cina. Pemerhati politik luar negara menggelarnya Malaysia’s Political Power Broker.

Dalam bidang ekonomi, Tun Ghafar tegas memperjuangkan agenda membasmi kemiskinan orang Melayu. Antara sumbangan besarnya ialah penubuhan Amanah Saham MARA, yang memperkenalkan orang Melayu kepada institusi pasaran saham. Beliau juga terlibat dalam penubuhan Kompleks Kewangan, Bank Pertanian, FAMA dan Malaysian National Insurance. Sebagai Pengerusi Ekonomi Majlis Tertinggi UMNO selama 20 tahun, beliau mengetuai Kongres Ekonomi Bumiputera (1968, 1974, 1978) serta Kongres Ekonomi Islam, yang menjadi wadah memperkukuh dasar ekonomi bangsa.

Dalam bidang sosial pula, beliau memberi tumpuan kepada perpaduan, masalah setinggan, kebudayaan, kemudahan asas dan terutama sekali pendidikan. Kesedaran beliau terhadap pentingnya pendidikan mendorong usaha menubuhkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada tahun 1972, Institut Kemahiran MARA, Yayasan Pelajaran MARA serta memperkukuh Institut Teknologi MARA (kini UiTM). MRSM khususnya berjaya melahirkan ramai profesional bumiputera dalam bidang sains dan teknologi.

Dokumen 61 halaman muka surat mengenai Taklimat ITM Untuk Y.B Encik Abdul Ghafar Baba Menteri Pembangunan Ekonomi Desa pada 23 Oktober 1973. Dokumen ini mengandungi laporan kemajuan mengenai usaha yang telah dilaksanakan untuk membangunkan ITM dan perancangan pada masa akan datang.

Sebagai Pengerusi MARA beliau telah mengambil perhatian yang berat atas perkembangan Institiut Teknoloji MARA dan memberi kerjasama yang penuh atas perkara-perkara pendidikan. Selain dari itu, beliau telah memainkan peranan yang penting dalam latihan Bumiputra di beberapa peringkat.

Sumbangan besar beliau dalam politik, ekonomi dan sosial negara melayakkannya menerima pelbagai pengiktirafan. Antaranya Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang dari Universiti Sains Malaysia (1985), Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran “Tun” (1995), serta Anugerah Tun Abdul Razak (1998). Beliau dianggap sebagai seorang self-made man dalam pendidikan, political survivor dalam arena politik, dan seorang warrior against poverty dalam perjuangan ekonomi.

Keperibadian Tun Ghafar dikenali mudah didekati, ikhlas dalam perjuangan, berpandukan falsafah politik yang lurus dan sederhana, serta setia kepada prinsip tujuh “K”: kejujuran, kesabaran, kesetiaan, keyakinan, kecekalan, kesederhanaan dan kemurnian. Beliau merupakan seorang strategis pintar yang sentiasa mengutamakan kestabilan parti dan negara.

Atas jasa baktinya, Fakulti Pentadbiran dan Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA dengan penuh penghormatan telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik. Sesungguhnya, sumbangan Tun Ghafar Baba dalam memajukan bangsa dan negara adalah warisan yang tidak ternilai. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor perkenan menyempurnakan Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik kepada YABhg. Tun Abdul Ghafar Baba. 

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM