 
Istiadat Konvokesyen Komemoratif Ketiga (2000)
Khabarnya pada tanggal dua puluh empat November, lapan puluh lapan tahun dahulu, empunya cerita tersebarlah berita kelahiran seorang putera. Ibarat sebutir kejora menyinari keluarga bahagia, lahirlah Yang Mulia Raja Zainal di Permatang Pasir, Kuala Langat. Beliau merupakan anak bongsu, anak keempat, gemala hati ayah bonda yang amat sangat.
Berganti hari berlalu purnama, putera diasuh, dididik, dibelai dan dimanja oleh bonda, Cik Fatimah. Maka tibalah detik mencari ilmu di sekolah ternama – Kolej Melayu Kuala Kangsar. Di situlah Yang Mulia Raja Zainal aktif bersukan. Sifat kepimpinan mula menyerlah. Di gelanggang kriket, beliau mengetuai pasukan, malah turut dilantik Ketua Murid Sekolah.
Dari sebuah projektor penayang wayang gambar, dari sebuah jentera penjana elektrik kuasa, dari semangat juang yang tidak kenal erti gentar, lahir pemangkin mencipta sebuah cita-cita.Maka tersebutlah akan pelayaran Yang Mulia Raja Zainal ke luar negara. Beliau menaiki kapal S.S. Rajputana dari Singapura. Selamat tinggal ayah bonda, selamat tinggal sanak saudara, rasa hiba berbaur gembira. Selama empat minggu dalam pelayaran, hati sedikit terkilan – ramai penumpang gadis berjauh-jauhan. Namun Yang Mulia Raja Zainal menginap di kelas atasan.
Bahtera belayar membelah lautan, dibuai lembut bayu utara, segar dalam ingatan. Ingin menuntut menjadi jurutera. Setelah beberapa lama, kapal berlabuh di Colombo, Bombay, Aden, Port Said, Marseille dan Gibraltar, akhirnya tiba di destinasi pelabuhan Kota London. Kota besar itu membuat hati kian gementar.
Ke Birmingham perjalanan diteruskan, menuntut ilmu kejuruteraan. Ranjau dan onak dilalui, namun semangat juangnya kental membina kejayaan. Queen’s Scholarship – itulah nama biasiswa julung kali dianugerahkan kepada penuntut jurutera. Sebaik sahaja menerima elaun pertama, motosikal Norton dibelikannya. Kira-kira pada tahun 1935, Yang Mulia Raja Zainal kembali ke tanah air, menjulang mahkota sebagai jurutera Melayu pertama dalam negara. Kerjaya bermula di Jabatan Letrik, jawatan pertama sebagai Pembantu Teknik, mengelola jentera penjana elektrik sewaan, dengan gaji lumayan empat ratus ringgit sebulan.
Zaman Jepun, Jabatan Letrik dikenali Nippon Hassoden Kabushiki Kaisha. Rakyat sengsara, namun kepakaran beliau tetap diperlukan. Sesudah perang, pada tahun 1949, Jabatan Letrik bertukar nama menjadi Lembaga Letrik Pusat.
Langkah demi langkah, kerjayanya menapak: Pembantu Teknik, Penolong Jurutera, Jurutera, Jurutera Penguasa, Ketua Pemeriksa Letrik, Jurutera Kanan, Penolong Pengurus Besar, Timbalan Pengurus Besar. Demikianlah perjalanan kerjaya Yang Mulia Raja Zainal, penuh cabaran, namun terus menyerlah.Sampailah pada satu hari – detik bersejarah negara dan buat Tan Sri sendiri. Pada 1 Julai 1964, beliau menjadi anak watan pertama dilantik sebagai Pengurus Besar, Lembaga Letrik Pusat. Tahun berikutnya, 1965, nama bertukar kepada Lembaga Letrik Negara. Dengan penuh dedikasi beliau menerajui selama satu dekad, sehinggalah bersara.
Empat puluh tahun bersama Lembaga, mencurah tenaga, membina kecemerlangan tidak ternilai. Namun Tan Sri selalu berkata, beliau bertuah kerana disokong staf yang setia. Panduan hidupnya jelas: Berbuat baik sesama manusia, nescaya mereka juga akan berbuat baik kepada kita.Selepas bersara, insan seunggul ini tidak pernah benar-benar bersara. Kerjaya diteruskan dalam bidang korporat, menjadi pengerusi di Matsushita, Esso, Hong Leong, Southern Bank, dan lain-lain. Hobinya pelbagai: kriket, hoki, motosikal, fotografi. Sering menjadi mekanik di hujung minggu, dan kereta antik Rolls-Royce WEI menjadi jantung hatinya. Maka tersebutlah akan Universiti Teknologi MARA yang ingin meraikan seorang jurutera Melayu terulung dalam negara. Simbol keterampilan bumiputera. Sukacita dianugerahkan Doktor Kehormat Kejuruteraan Elektrik kepada Allahyarham Tan Sri Raja Zainal.
Moga keluarga Allahyarham menerima watikah ini sebagai mercu tanda penghargaan dan sanjungan kami.
