Biografi Yang Berbahagia Dato’ Mansor bin Othman

Suasana ekonomi dan sosial negara tidak akan mencapai tahap yang kita kecapi hari ini tanpa adanya bangsa atau masyarakat yang memajukannya. Masyarakat Bumiputera kini bukan lagi golongan yang boleh dinafikan kebolehannya. Mereka mampu bersaing dalam semua bidang, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.

Perubahan iklim ekonomi negara yang begitu ketara dan mengagumkan adalah hasil sumbangan golongan profesional serta teknokrat Bumiputera yang dilahirkan oleh sebuah institusi pendidikan tinggi terulung negara, iaitu Institut Teknologi MARA (ITM). Namun, ITM tidak akan wujud dengan gahnya tanpa digerakkan oleh seorang tokoh berjiwa patriotik dan berpandangan jauh – seorang anak Melayu yang telah mencurahkan bakti besar dalam menjadikan ITM sebuah institusi pengajian tinggi unggul. Tokoh yang dimaksudkan ialah Yang Berbahagia Dato’ Mansor bin Othman.

Dato’ Mansor bin Othman dilahirkan di Kuala Pilah pada 12 Januari 1924. Kehadirannya menambahkan lagi kisah kejayaan bangsa Melayu. Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu Kuala Pilah, kemudian ke Sekolah Menengah Tengku Muhammad, dan seterusnya di Kolej Raffles, Singapura. Pendidikan di institusi ini telah membentuk peribadi beliau sebagai seorang pendidik.

Selepas tamat pendudukan Jepun di Malaya, beliau memilih bidang pendidikan sebagai hala tuju hidupnya. Beliau mula berkhidmat sebagai guru di Kelas Normal, sebelum berpindah ke Sekolah Inggeris Port Dickson. Minat mendalam terhadap ilmu mendorong beliau kembali ke Kolej Raffles untuk melanjutkan pelajaran, di mana beliau memperoleh Diploma in Arts. Pada tahun 1949 hingga 1951, beliau berkhidmat sebagai guru berijazah di Sekolah King George, Seremban. Ketokohan serta kegigihannya membuatkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Kesatuan Guru-Guru Negeri Sembilan. Demi menambah ilmu, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (1951–1953) dan berjaya memperoleh Ijazah dalam Pengajian Ilmu Alam.

Pada tahun 1953, beliau dilantik sebagai pegawai pendidikan. Namun, selepas beberapa tahun, beliau beralih ke sektor korporat apabila menyertai Shell Federation of Malaya Ltd sebagai Pengurus Perkhidmatan Pemasaran. Antara tahun 1957 hingga 1964, beliau berkhidmat di Pahang dan Terengganu sebagai Pengurus Daerah Perkhidmatan Shell, sebelum dilantik sebagai Pengurus Pemasangan Shell di Teluk Anson, Perak, dan seterusnya Pengurus Perhubungan Awam Shell.

Walaupun berjaya dalam bidang korporat, semangat cintakan pendidikan tidak pernah pudar. Atas keyakinan bahawa pendidikan merupakan kunci kemajuan bangsa dan negara, beliau tampil sebagai Pengerusi Majlis ITM yang ke - 2 dalam penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM) serta 12 cawangannya di seluruh negara pada tahun 1965, ketika beliau mengetuai Pusat Latihan MARA. Hasil usaha tersebut, ITM kini telah berjaya melahirkan lebih 130,000 graduan dalam pelbagai bidang profesional dan separa profesional. Selain ITM, beliau juga berperanan dalam menubuhkan Institut Kemahiran MARA (latihan vokasional) dan Yayasan Pelajaran MARA.

Beliau juga melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai organisasi, antaranya:

  • Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
  • Setiausaha Agung Kongres Ekonomi Bumiputera
  • Ahli Lembaga Pemilihan Persekutuan Kolej Tentera

Kemuncak kejayaan beliau bermula apabila dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan (1969–1978).

Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan penting lain seperti:

  • Timbalan Pengerusi & Pengerusi Badan Pentadbiran ITM
  • Timbalan Speaker & Pemangku Speaker Parlimen Malaysia
  • Pengerusi PERNAS International

Selepas menamatkan kerjaya dalam kerajaan dan politik, beliau kembali menguruskan perniagaan keluarga sejak tahun 1986. Dato’ Mansor Othman adalah tokoh besar bangsa – seorang pemikir, peneraju, dan pendorong yang berjaya meletakkan bangsa Melayu di kedudukan yang membanggakan, khususnya dalam bidang pendidikan.

Sumber : Buku Majlis Konvokesyen Institut Teknologi MARA Ke-48 (1998). Koleksi Bahagian Arkib Universiti.