Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam DYMM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj 
Istiadat Konvokesyen Komemoratif Kelima (2001)

DYMM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Pemangku Raja Selangor, diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang. Paduka ayahanda begitu gembira menimang putera sulung baginda yang dinanti-nantikan. Dengan penuh harapan dan wawasan jauh, baginda mendidik putera tersayang dengan pelbagai ilmu yang berguna.

Pendidikan awal Tengku Idris bermula di Sekolah Rendah Melayu, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur. Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran ke St. John’s Institution, Kuala Lumpur (1954–1959). Pada tahun 1960, baginda berangkat ke Australia menuntut ilmu di Hale School, Perth, sebelum ke Langhurst College, Surrey, England (1964). Baginda pulang ke tanah air pada tahun 1968 setelah menimba ilmu di luar negara.

Pada usia 15 tahun, baginda telah diisytihar dan diwartakan sebagai Raja Muda Selangor pada 3 September 1960. Selepas menamatkan pengajian, baginda menyertai perkhidmatan kerajaan di Sekretariat Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur, dan Jabatan Polis Kuala Lumpur, yang banyak memberi pengalaman dalam bidang pentadbiran. Pada tahun 1970, baginda ditabalkan sebagai Raja Muda Selangor kelapan (ke-8).

Ujian besar hadir apabila paduka ayahanda berangkat ke England pada tahun 1969. Dalam tempoh itu, Tengku Idris dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pangkuan Diraja, dan ketika itulah berlaku tragedi Peristiwa 13 Mei 1969. Baginda memainkan peranan penting menyatupadukan rakyat, menjelajah ke pelusuk kampung dan bandar, serta menenangkan masyarakat berbilang kaum.

Sejak tahun 1972, baginda beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor ketika ketiadaan ayahanda. Sekali lagi baginda memegang tanggungjawab besar apabila ayahanda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11. Sebagai Raja Muda dan Pemangku Raja, baginda amat prihatin terhadap pentadbiran negeri, sering berbincang bersama Menteri Besar Selangor dan Datuk Bandar Shah Alam tentang pembangunan negeri.

Tengku Idris menekankan konsep “Mesra Rakyat” dalam pentadbiran. Baginda menggalakkan pemimpin turun padang bagi mendekati rakyat serta menyelesaikan perselisihan melalui perundingan. Baginda turut memberi perhatian terhadap kemajuan Shah Alam yang ingin dijadikan “Bandaraya Universiti” berpaksikan UiTM, dengan pembangunan hospital, kemudahan rekreasi, perumahan selesa dan pusat khazanah budaya Melayu.

Dalam bidang sukan, baginda adalah Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Bolasepak Selangor dan penaung lebih 20 persatuan sukan. Baginda juga aktif dengan aktiviti lasak termasuk pelayaran mengelilingi dunia (1995–1996) selama 22 bulan dengan kapal S.Y Jugra serta menyertai perlumbaan kereta antik antarabangsa, termasuk Cabaran Motor Peking–Paris 1997.

Selain sukan, baginda berjiwa seni dengan minat dalam fotografi, seni lukis, dan penulisan. Baginda juga menubuhkan Yayasan Raja Muda untuk membantu golongan belia sebagai pelapis kepimpinan masa depan. Dalam bidang pendidikan, baginda amat prihatin terhadap pembangunan sistem pendidikan bersepadu dari sekolah hingga ke universiti.

Sebagai pengiktirafan, pada 25 Mei 2000, baginda dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi tempoh 1 April 2000 – 31 Mac 2005. Atas kecemerlangan, sumbangan dan wawasan baginda, UiTM dengan penuh takzim menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam kepada DYMM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM