Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perniagaan YBhg. Tan Sri Datuk (Dr) Haji Arshad Ayub
Istiadat Konvokesyen ke 52 (2000)

Sesungguhnya, kemajuan dan perkembangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini adalah hasil daripada asas wawasan yang jauh, pemikiran kreatif dan inovatif, usaha gigih, komitmen tinggi serta semangat juang yang kental daripada seorang tokoh bernama Tan Sri Datuk Haji Arshad Ayub. Beliau ialah anak kepada seorang penoreh getah yang miskin dari Parit Keroma, Muar. Bapanya meninggal dunia ketika beliau masih kecil, manakala ibunya pula meninggal dunia sebaik sahaja beliau tamat peperiksaan Senior Cambridge. Sejak itu, tanggungjawab menyara empat orang adik-beradiknya terletak di bahu beliau.

Pengalaman hidup dalam kemiskinan telah memberi pengaruh besar apabila beliau dilantik sebagai Pengetua Maktab MARA pada tahun 1965. Keprihatinannya terhadap nasib anak bangsa Melayu luar bandar yang serba kekurangan telah melahirkan satu keinsafan untuk memberi peluang seluas-luasnya kepada mereka melanjutkan pelajaran. Dengan falsafah bahawa “semua manusia mempunyai bakat, minat dan kecenderungan untuk belajar; dan jika diasuh, dididik serta dilatih dengan sempurna melalui pemindahan ilmu pengetahuan dari mana-mana kebudayaan atau tamadun dunia secara terbuka, mereka boleh berperanan dalam membangunkan diri, masyarakat dan negara”, Tan Sri Arshad telah mengubah senario pendidikan tinggi negara.

Pada tahun 1965, Maktab MARA hanya mempunyai lima kursus dan 226 orang pelajar. Namun, pada tahun 1975, ketika beliau menamatkan perkhidmatannya di ITM, jumlah pelajar telah meningkat kepada 8,000 orang dengan 67 kursus ditawarkan. Beliau juga mencatat sejarah apabila membuka kampus cawangan ITM di Sarawak, Sabah dan Perlis. Malah, beliau mempelopori pendidikan tinggi negara dengan memperkenalkan twinning programme pertama di Malaysia antara ITM dengan Ohio University, Amerika Syarikat.

Beliau turut membuka peluang pendidikan baharu dengan memperkenalkan kursus-kursus yang belum ada di IPT lain ketika itu seperti Sains Komputer, Pengurusan Hotel, Seni Lukis dan Seni Reka, serta Sebaran Am. Untuk memastikan lebih ramai bumiputera berpeluang mengikuti kursus separa profesional, beliau memperkenalkan kursus-kursus peralihan berbentuk remedial. Hasilnya, ramai anak bumiputera berjaya melanjutkan pelajaran dan kini menjadi usahawan serta tokoh besar dalam sektor awam dan swasta.

Selain di ITM, Tan Sri Arshad pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian, serta Kementerian Tanah dan Pembangunan Wilayah.

Selepas bersara, beliau aktif dalam dunia perniagaan. Pada tahun 1987, beliau menubuhkan MOCCIS Trading Sdn. Bhd. dan berjaya membangunkannya sehingga hasil jualan meningkat daripada RM2 juta (1987) kepada RM200 juta (1999), manakala keuntungan naik daripada RM400,000 kepada RM20 juta dalam tempoh yang sama. Di bawah kepimpinannya, MOCCIS menjadi peruncit bumiputera terbesar di negara ini dengan 40 cawangan dan berjaya melahirkan lebih 400 usahawan serta peniaga bumiputera melalui rangkaian franchisee, agen dan pembekal.

Tan Sri Arshad juga pernah menjadi Pengerusi Tomypack Holding Berhad dan MIT Holding Berhad, dua syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Selain itu, beliau menjadi Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat lain termasuk Kulim Berhad, KPJ Healthcare Berhad, Sindora Berhad, Rumpun Hijau Capital Berhad, Nationwide Express Courier Services Berhad dan Audrey International Berhad.

Sumbangan beliau dalam mendidik, melatih dan melahirkan ramai pemimpin korporat, usahawan serta peniaga amat dikagumi dan disanjung tinggi. Justeru, sebagai menghargai jasa beliau kepada bangsa dan negara, Universiti Teknologi MARA dengan penuh kebanggaan telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perniagaan kepada YBhg. Tan Sri Datuk Haji Arshad Ayub.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM