
Sebagai mengenang jasa penglibatan Allahyarham Tun Abd. Razak yang tidak ternilai terhadap ITM, Jubah Konvokesyen Komemoratif telah direka khas untuk Penganugerahan Kehormat Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang ke atas beliau di Majlis Konvokesyen Komemoratif Institut Teknologi MARA pada 23 Jun 1997. Pemilihan fabrik sutera bercampur rayon berwarna hijau tua berlandaskan kesinambungan warna yang terdapat pada logo ITM. Ia membawa pengertian kesuburan ilmu yang terus berkembang untuk Bumiputera.
Sulaman emas motif pucuk rebung yang diselang-selikan dengan gambaran roda yang terdapat pada logo ITM menggambarkan kedaulatan bangsa dan kekayaan ilmu yang terkandung di dalamnya yang harus direbut oleh anak bangsa. Motif pucuk rebung berbentuk tiga segi secara langsung membawa maksud kestabilan sistem pentadbiran dan keseimbangan pendidikan yang menuju ke puncak kejayaan. Gambaran roda atau 'industrial wheel' yang membawa maksud sistem pentadbiran dan pendidikan ITM yang mengamati pembangunan sosioekonomi bumiputera. Garis tebal yang disulam di sepanjang motif membawa maksud sistem kawalan pentadbiran yang kukuh dalam menjaga segala aktiviti dan tanggungjawab.

