Keris Sempana Alam Buana telah dibawa masuk ke dalam Dewan Seri Budiman buat pertama kali sempena Majlis Konvokesyen ke-36 dengan penuh istiadat. Keris kebesaran yang melambangkan kuasa dan kecemerlangan ITM ini dibawa masuk oleh Bentara dengan penuh istiadat dan diiringi oleh tiupan nafiri dan gong dihadapan perarakan utama.

Buku Konvokesyen ITM ke-36.

 

Petikan berkenaan Keris Sempana Alam Buana dalam Buku Konvokesyen ITM ke-36.

 

Keris Sempana Alam Buana dibawa masuk ke dalam buat kali pertama ketika Istiadat Konvokesyen ITM ke-36.
Keris Sempana Alam Buana dibawa masuk ke dalam buat kali pertama ketika Istiadat Konvokesyen ITM ke-36.

 

Keris Sempana Alam Buana ketika kali pertama diperkenalkan pada Konvokesyen ITM ke-36.

Panjang keseluruhan Keris Sempana Alam Buana dengan hulunya ialah 96 cm. Bilahnya mempunyai panjang 81.5 cm dengan lebar 16 cm dan ketebalan 0.8 cm.

Keris ini diperbuat dari besi waja yang diadun daripada besi-besi yang diambil dari seluruh negeri yang mempunyai cawangan ITM. Pada mata keris ditulis perkataan INSTITUT TEKNOLOGI MARA dalam tulisan jawi. Hulu keris diperbuat daripada bahan perak yang diukir seperti orang sedang bersolat. Ia melambangkan masyarakat ITM sentiasa patuh kepada segala ajaran Penciptanya. Sarung keris juga diperbuat daripada bahan-bahan perak. Ia diukir dengan motif bunga Melati dan disulam dengan tumbuhan ribu-ribu yang melambangkan keteguhan dan kesepaduan kakitangan serta pelajar di dalam semua urusan institusi ini. Pada samping keris diletakkan logo ITM yang diperbuat daripada emas tulen.

Pemilihan nama keris tersebut adalah berdasarkan makna-makna berikut : 

SEMPANA

Perkataan Melayu lama bermakna bilah atau mata keris yang berlok tujuh atau kurang. Perkataan ini diambil kerana keris ITM mempunyai tiga lok yang melambangkan pendidikan ITM yang bersepadu di antara ilmu, amal dan takwa.

ALAM 

Perkataan ini dipilih adalah sebagai lambang pelajar dan graduan ITM yang berwibawa yang akan memanfaatkan ilmu yang diperolehi untuk faedah alam ini. Juga sebagai lambang bahawa ilmu yang diperolehi di Institut ini adalah seluas alam. Perkataan ALAM juga dipilih bersempena nama Shah Alam, tempat kampus induk ITM berdiri megah. 

BUANA

Perkataan ini terdapat dalam Sastera Melayu lama bermakna dunia, jagat dan bumi. Perkataan ini turut dipilih untuk menguatkan lagi unsur-unsur makna perkataan Alam. 

Keris Sempana Alam Buana telah ditukar kepada Cokmar / Keris Agung bermula Istiadat Konvokesyen UiTM Tahun 2000. Keris berusia 33 tahun ini dipamerkan di Galeri Tun Abdul Razak, Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. 

Sumber :

  • Buku Konvokesyen ITM ke - 36 tahun 1992. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam.
  • Buku Majlis Konvokesyen Komemoratif ITM 1997. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam.