2 Januari 2024 – Telah diadakan satu sesi perkongsian yang bertajuk Alumni Sharing: From IM to IM “Towards 1st Class Information Studies” bertempat di Bilik Kuliah A201-SC UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) pada jam 2.30 petang sehingga 4.30 petang.

Bagi sesi pertama perkongsian ini, Cik Sazlina Saleh (Pembantu Pustakawan) Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTMCK yang merupakan alumni Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) UiTMCK yang kini dikenali sebagai Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) telah dijemput untuk berkongsi pengalaman kerjaya beliau di dalam bidang perpustakaan kepada para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat Semester 1.

Objektif perkongsian ini adalah untuk memberi pendedahan akan dunia perpustakaan yang sebenar dan mengubah persepsi stereotaip pelajar terhadap perpustakaan dari aspek persekitaran yang dianggap tempat yang sunyi dan menyediakan suasana kondusif untuk para pelajar membaca dan membuat rujukan. Di samping itu, perkongsian ini juga untuk meneroka pekerjaan di dalam bidang kepustakawanan dari segi deskripsi tugas pustakawan dan staf sokongan di setiap unit, program yang telah dianjurkan, perkhidmatan yang disediakan di PTA dan lain-lain.

Sesi perkongsian diakhiri dengan sesi soal jawab daripada pelajar dan penyampaian cenderahati oleh Puan Noor Azreen Alimin, Pensyarah KPPIM. Diharapkan agar melalui perkongsian ini dapat membuka mata pelajar yang perpustakaan kini tidak sepasif dahulu dan mengubah persepsi sedia ada tentang kerjaya dalam bidang perpustakaan yang bukan hanya kerja menyusun buku tetapi sebaliknya sebagai kunci yang membolehkan pengguna mengakses bahan ilmiah dengan lebih efektif dan efisien dalam pelbagai tujuan sama ada rujukan mahupun tugasan. Semoga perkongsian serta tips dalam pembelajaran yang dikongsikan dapat menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk menjadi seorang yang cemerlang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *