Majlis Pelancaran Read@uni Peringkat UiTM 

Shah Alam – Pada malam 2hb Oktober 2019 (Rabu), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam dengan kerjasama Majlis Pengetua Kolej UiTM Shah Alam telah mengadakan Majlis Pelancaran Read@Uni Peringkat UiTM.

Program ini merupakan simbolik tanda sokongan dan pelaksanaan program Read@Uni yang telah diadakan di UiTM seluruh Malaysia dengan pelaksanaan sebanyak 130 aktiviti, 19 205 penyertaan yang terdiri dalam kalangan warga UiTM dan Komuniti Luar. https://ptar.uitm.edu.my/read@uni/
Program Read@Uni dengan Slogan “With Knowledge We Lead” dilaksanakan dengan penyelarasan oleh perpustakaan di semua IPT Awam dan Swasta bagi menyemarakkan lagi kempen budaya membaca di institusi masing-masing dan membantu dalam menyokong aspirasi mewujudkan dekad membaca 2030.

Program ini akan dilaksanakan secara terancang dan berterusan di seluruh UiTM bagi memupuk minat membaca serta menyokong pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan ke arah mewujudkan warga universiti berbudaya membaca dan cintakan ilmu.


Objektif Program adalah:

1.    Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca di kalangan warga universiti.
2.    Memupuk minat dan amalan membaca di kalangan warga universiti.
3.    Menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan cintakan ilmu.
4.    Memberi pendedahan kepada pelanggan berkenaan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan.
5.  Memperkenalkan dan melancarkan Learning College yang merupakan inisiatif Majlis Pengetua Kolej untuk menjadikan kolej sebagai Pusat Pembelajaran Kedua yang akan menjadi antara program Read@Uni kepada para pelajar dan pihak kolej.


Malam tersebut akan juga disampaikan anugerah khas perpustakaan yang terbahagi kepada empat(4) kategori iaitu:


1. Anugerah Ikon Membaca UiTM – Ikon Membaca UiTM adalah anugerah inisiatif Perpustakaan Tun Abdul Razak bagi menggalakkan dan membudayakan amalan membaca terutama dalam kalangan generasi muda. Pemilihan ikon adalah berdasarkan berdasarkan keaktifan ikon dalam penyelidikan dan penerbitan selain mempunyai minat membaca dan dapat memberi inspirasi dan memupuk budaya membaca kepada warga Universiti dan Komuniti luar.
2. Anugerah Peminjam Buku Terbanyak – Menganugerahkan Peminjam Buku Terbanyak Perpustakaan kepada 3 kategori pelanggan iaitu Pelajar, Staf Pentadbiran dan Staf Akademik. Ia sebagai tanda penghargaan dan memberi semangat terhadap sokongan mereka dalam menggunakan perkhidmatan pinjaman buku perpustakaan.
3 .Anugerah Pelanggan Setia – Menganugerahkan pelanggan yang datang ke perpustakaan secara fizikal dan menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua untuk membuat rujukan, pembelajaran dan cetusan idea serta kreativiti
4. Anugerah Penggunaan Sumber Bahan Elektronik – Menganugerahkan pelanggan yang tertinggi menggunakan Sumber Bahan Elektronik langganan PTAR


Majlis Pelancaran Program Read@Uni Peringkat Kebangsaan

Perasmian Read@Uni oleh YB Dr Maszlee Malik.

SHAH ALAM – Program Read@Uni, telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YBhg Dr. Maszlee Malik dalam satu majlis yang telah diadakan di Dewan Agung Tun Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.
Program hasil kerjasama antara Jabatan Pendidikan Tinggi, Pusat Sitasi Malaysia dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam ini merupakan inisiatif bagi mewujudkan negara membaca pada tahun 2030, dan akan dilaksanakan melalui perpustakaan di semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta.

Dengan slogan With Knowledge We Lead dan bertemakan #Malaysiamembaca, kempen ini bertujuan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara berbudaya membaca dan dapat menyemarakkan lagi pembacaan dalam kalangan kumpulan sasaran iaitu mahasiswa, pensyarah dan staf pentadbiran.

  Dr Hassan Said

Menerusi ucapan Naib Canselor UiTM, YBhg Prof Emeritus Dato’ Dr Hassan Said berkata, “Sejajar dengan saranan KPM yang akan menghidupkan kembali Kempen Membaca Kebangsaan dalam usaha memastikan rakyat Malaysia dikenali sebagai masyarakat paling ramai membaca pada 2030, UiTM akan memastikan pelbagai aktiviti lagi diadakan bagi mendokong ke arah budaya membaca.
“Bagi memastikan budaya membaca sentiasa menjadi ‘rakan karib’ dalam kalangan warga universiti, perpustakaan perlu memainkan peranan dalam mempromosi dan melaksanakan kempen dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr Maszlee diberi penerangan ketika dalam lawatan ke tapak pameran Read@Uni.
Program Read@Uni ini, selain menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan cintakan ilmu, khususnya dalam kalangan warga universiti, inisiatif seumpama ini dapat melahirkan masyarakat yang kaya ilmu dan berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang.

Penghargaan kepada Noor Hidayat Adnan, Ketua Pustakawan UiTM.
Dalam majlis ini, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Poster Read@Uni, Wan Muhammad Hafizi Wan Mansor yang telah berjaya dipilih sebagai pemenang hadiah utama daripada enam orang finalis, membolehkannya membawa pulang sijil, trofi berserta wang tunai berjumlah RM1,500.
Lima peserta lain yang memenangi saguhati adalah Nurul Ain Syafiqah Mat Desa dari UniSZA, Angeline Lee Ling Sing dari UMS, Muhammad Luqman Hakim Mohd Hanapiah dari Upsi, Lina Syazana Md Razi dari UiTM Kota Samarahan, dan Awang Hishammudin Awang Morsal dari UiTM Puncak Alam.

Dr Maszlee bersama finalis dan pemenang pertandingan Poster Read@Uni 2018 di UiTM Shah Alam.

Pemenang pertandingan Poster Read@Uni, Wan Muhammad Hafizi Wan Mansor dari UIAM. Majlis telah diakhiri dengan persembahan teater pendek daripada pelajar Fakulti Filem Teater dan Animasi, UiTM Puncak Perdana

Pementasan Teater Pendek oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.

Sumber : kampusuols
https://kampusuols.com/article/423591/U-In-News/SEL-KL/Dr-Maszlee-lancar-program-Read@Uni-di-UiTM-Shah-Alam

#ReadAtUni #MalaysiaMembaca #UiTMmembaca #libraryuitm #uitmread #uitm