Mini Simposium Co-Creates 2025 Tumpu Kolaborasi Pintar Industri dan Mahasiswa
Puncak Alam, 18–19 November 2025 – Mini Simposium Co-Creates 2025 bakal menjadi antara acara tumpuan dalam Karnival Ilmu & Penyelidikan UCS 2025, yang berlangsung di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Kampus Puncak Alam. Program ini memberi ruang kepada mahasiswa dan wakil industri untuk berkongsi idea, mempamerkan hasil penyelidikan serta membina jaringan kolaboratif berimpak tinggi.
Simposium yang dijadualkan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari selama dua hari ini akan diadakan di Bilik Seminar, PTAR UiTM Kampus Puncak Alam. Ia menampilkan pembentangan penyelidikan, perkongsian pengalaman industri serta diskusi mengenai inovasi dan penyelesaian cabaran semasa.
Penganjuran Co-Creates 2025 bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara komuniti akademik dan industri, sekali gus melahirkan idea baharu yang mampu diterjemah kepada projek sebenar dan peluang kerjasama jangka panjang.
Mahasiswa yang menyertai program ini turut layak menerima e-Merit, sebagai galakan terhadap penyertaan aktif dalam aktiviti akademik dan penyelidikan.
Di samping simposium, pengunjung juga dijemput menyertai pelbagai aktiviti lain serta melawat reruai pameran yang disediakan sepanjang Karnival Ilmu & Penyelidikan UCS 2025 di PTAR Puncak Alam.
Co-Creates 2025 menjadi platform penting untuk mencetus inovasi, menyatukan idea dan merapatkan hubungan antara industri serta dunia akademik.
