Pasir Gudang, 12-13 Ogos 2025 – Bengkel Apple Learning Summit anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang dengan kerjasama Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang telah berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos 2025, bermula jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran warga pendidik serta peserta dalam memanfaatkan teknologi Apple untuk pengajaran dan pembelajaran abad ke-21. Penganjuran bengkel ini seiring dengan aspirasi pendidikan digital negara yang menekankan integrasi teknologi dalam bilik darjah bagi memperkasa kreativiti, interaktiviti dan keberkesanan penyampaian ilmu.
Sepanjang dua hari penganjuran, peserta berpeluang mengikuti sesi pembelajaran intensif, perkongsian ilmu, serta demonstrasi penggunaan aplikasi dan peranti Apple yang relevan dengan bidang pendidikan. Bengkel ini dijangka memberi pendedahan praktikal kepada guru-guru dan tenaga pengajar mengenai strategi pembelajaran inovatif yang mampu menarik minat pelajar serta meningkatkan keberhasilan pembelajaran.
