Pasir Gudang, 31 Mac 2026 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang telah menganjurkan Bengkel AI Generative sebagai satu inisiatif memperkukuh literasi digital dan pemahaman teknologi kecerdasan buatan dalam kalangan warga kampus.
Program yang berlangsung di Makmal Komputer PTDI ini diadakan bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang dan mendapat penyertaan aktif daripada pelajar serta staf akademik. Bengkel ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai konsep serta aplikasi Artificial Intelligence (AI) Generative yang semakin berkembang dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, penyelidikan dan industri kreatif.
Bengkel ini dibahagikan kepada dua modul utama. Modul pertama disampaikan oleh Encik Ahmad Akmal bin Mohd Idris, Pustakawan Kanan, yang memberi fokus kepada asas AI generatif serta penggunaannya dalam pengurusan maklumat dan pencarian ilmu. Seterusnya, Modul kedua dikendalikan oleh Encik Muhamad Faizul Azwan bin Jalil, Pembantu Pustakawan, yang mengetengahkan aplikasi praktikal AI dalam menghasilkan kandungan digital secara kreatif dan berkesan.
Penganjuran bengkel ini selari dengan usaha perpustakaan dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta memperkasakan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan komuniti akademik. Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk meneroka potensi teknologi AI sebagai alat bantu dalam meningkatkan produktiviti dan inovasi.
