PTAR UiTM Cawangan Selangor Anjur Wacana “Ikigai: The Japanese Secret To A Long And Happy Life” Secara Langsung
Puncak Alam, 30 April 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam terus komited memperkasa budaya ilmu dan kesejahteraan hidup warga kampus melalui penganjuran program siaran langsung bertajuk “Ikigai: The Japanese Secret To A Long And Happy Life” yang berlangsung pada Rabu, 30 April 2025 bersamaan 2 Zulkaedah 1446H, jam 10.00 pagi.
Program ini menampilkan Dr. Ernie Rozaini Binti Sulaiman, Pegawai Perubatan UiTM Kampus Puncak Alam, sebagai panel jemputan yang berkongsi pandangan dan pengetahuan berkaitan konsep Ikigai – falsafah kehidupan masyarakat Jepun yang menekankan keseimbangan antara minat, kemahiran, keperluan dunia dan ganjaran, sebagai rahsia umur panjang dan kehidupan bahagia.
Sesi wacana ini dikendalikan oleh Cik Nur Syazrina Mohd Sofian, pelajar Latihan Industri PTAR UCS, yang berperanan sebagai moderator, sekali gus memberikan ruang kepada generasi muda untuk terlibat aktif dalam penganjuran program ilmiah.
Program ini disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube rasmi PTAR UCS, membolehkan warga kampus dan masyarakat umum mengikuti perkongsian bermanfaat ini dari mana-mana sahaja.