Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin merupakan Permaisuri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Syarafuddin Idris Shah Al-Haj. Baginda telah ditabalkan sebagai Tengku Permaisuri Selangor pada 8 September 2016 di Istana Alam Shah Klang. Dilahirkan pada 1971 di Hospital Angkatan Tentera Kamp Terendak Melaka dan merupakan anak bongsu dalam keluarga Tuan Haji Abdul Rahman.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Raja Muda Kampung Baru Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas Kuala Lumpur. Memulakan kerjaya sebagai Pramugari Penerbangan Malaysia MAS dari tahun 1989 hingga 1994, Baginda kemudian memutuskan untuk menukar bidang kerjanya dan menyertai Radio Televisyen Malaysia RTM sebagai penyampai berita TV satu pada tahun 1996. Baginda juga pernah dinobatkan sebagai penyampai berita TV terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa ASA pada tahun 2001 dan 2004.

Bertugas dalam dunia penyiaran selama 20 tahun telah memberikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin pengalaman berharga tentang pentingnya penghasilan berita yang berlandaskan hasil penelitian dan kajian terperinci dalam memastikan maklumat yang disajikan tepat, menarik dan sesuai dengan kehendak semasa. Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga merupakan penaung Diraja bagi pelbagai badan amal dan badan bukan kerajaan. Sesungguhnya segala bakti dan sumbangan yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor amat bermakna dan dihargai oleh seluruh rakyat dan negara.

Universiti Teknologi Mara amat berbesar hati atas pelantikan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin sebagai Pro-Chanselor UiTM.

Sumber:
1. Buku Pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor