Maktab MARA diberi nama baharu iaitu Institut Teknologi MARA. Penukaran nama ini telah berkuatkuasa pada 14 Oktober 1967 iaitu semasa Upacara Perletakan Batu Asas ITM Batu Tiga, Jalan Klang, Selangor yang telah disempurnakan oleh YAB Tun Abdul Razak bin Hussien, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada ketika itu. Encik Arshad Ayub dilantik sebagai Pengarah ITM yang pertama dengan jumlah pelajar berjumlah 1491 orang. Majlis konvokesyen keempat juga telah berlangsung 01 Disember 1967. Jumlah graduan keseluruhan pada kali ini seramai 101 orang.

Penubuhan ITM adalah sebagai respons terhadap keperluan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum bumiputera di Malaysia. Kekurangan ini dikenal pasti melalui peninjauan tenaga kerja yang dijalankan oleh kerajaan pada tahun 1965 dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

ITM memenuhi kursus separuh profesional bagi bidang sains dan teknologi seperti dalam bidang kejuruteraan, sains gunaan serta seni bina, bangunan dan perancangan. Walau bagaimanapun, menyedari tentang kepentingan bidang pembinaan negara pelengkap yang lain, ITM juga telah merangkumi pelbagai bidang yang berasaskan pengurusan dan kemanusiaan yang penting seperti kajian perniagaan, pengurusan hotel dan katering, komunikasi massa, pentadbiran awam, undang-undang, sains kesetiausahaan, serta seni dan reka bentuk.

Pada akhir tahun 1970, ITM telah diberi autonomi penuh dan ditadbirkan oleh Majlis Pentadbirannya sendiri. Menjelang tahun 1973, kampus cawangan telah ditubuhkan di Perlis, Sabah dan Sarawak.


Petikan
ucapan YAB Tun Abdul Razak bin Hussien, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Upacara Perletakan Batu Asas ITM Batu Tiga, Jalan Klang, Selangor

“…Bangunan batu, khutub khanah berhawa dingin, bilik makmal dan tapak yang lebih lebar ini tidak akan menjadi Maktab atau ITM yang berguna jikalau pandangan penuntut tidak saujana dan fikiran, kemahuan dan semangat mereka tidak dinamis. Saya pulangkanlah pada penuntut-penuntut dan ibu bapa sekalian supaya memberi sumbangan dan menerusi fikiran yang bernas, tenaga yang kuat dan semangat mahu menyelidik dan mendalam ITM ini seimbang dengan kemajuan-kemajuan dan perkembangan-perkembangan yang di amanatkan oleh rakyat Bumiputera pada kita sekalian untuk mendirikannya. Sekarang, dengan beberapa sukacitanya saya merasmikan Perletakan Batu Asas ITM di Batu Tiga ini”.

 

 

Rujukan

1. Achieving A Dream..a story of courage
2. Buku Konvokesyen 1968