Keris Sempana Alam Buana

Keris Sempana Alam Buana telah dibawa masuk ke dalam Dewan Sri Budiman buat pertama kali sempena Majlis Konvokesyen Ke-36 dengan penuh istiadat. Keris kebesaran yang melambangkan kuasa dan kecemerlangan ITM ini dibawa masuk oleh Bentara dengan penuh istiadat dan diiringi oleh tiupan nafiri dan gong dihadapan perarakan utama. Pemilihan nama keris tersebut adalah berdasarkan makna-makna berikut:

SEMPANA : Perkataan Melayu lama bermakna bilah atau mata keris yang berlok tujuh atau kurang. Perkataan ini diambil kerana keris ITM mempunyai tiga lok yang melambangkan pendidikan ITM yang bersepadu di antara ilmu, amal dan takwa.

ALAM: Perkataan ini dipilih adalah sebagai lambang pelajar dan graduan ITM yang berwibawa yang akan memanfaatkan ilmu yang diperolehi untuk faedah alam ini. Juga sebagai lambang bahawa ilmu yang diperolehi di Institut ini adalah seluas alam. Perkataan ALAM juga dipilih bersempena nama Shah Alam, tempat kampus induk ITM berdiri megah.

BUANA: Perkataan ini terdapat dalam Sastera Melayu Lama bermakna dunia, jagat dan bumi. Perkataan ini turut dipilih untuk menguatkan lagi unsur-unsur makna perkataan Alam.

Keris Sempana Alam Buana telah ditukar nama kepada Cokmar/Keris Agung bermula Istiadat Konvokesyen UiTM tahun 2000.

Keris Agung

Keris Agung yang bersarung melambangkan kekuatan dan keutuhan bangsa Melayu. Motif ukiran yang terdapat pada “Keris Agung” ini menepati makna dan tujuan penciptaannya. Motif ini menggambarkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor UiTM sekaligus melambangkan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bumiputera yang terulung.

Kewibawaan makna identiti keris terserlah dengan logo UiTM yang diletakkan di atas ukiran perak pada pangkal sarung keris. Bahagian tengah sarungnya pula tertera tulisan khat tuluth yang mempamerkan moto UiTM iaitu “Usaha, Taqwa, Mulia”.

 

Sumber :

  1. Buku Majlis Penyampaian Sijil Institut Teknologi MARA     – 19 November 1999
  2. Buku Majlis Penyampaian Sijil Universiti Teknologi MARA     – 5 Jun 2000
  3. Ebook Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke 91     – 05 Oktober – 07 November 2019