Berukuran sederhana, 17.5 sentimeter lebar dan 25 sentimeter tinggi dengan hanya 16 muka surat, naskhah ini mungkin kelihatan ringkas. Namun, di dalamnya tersimpan sejarah besar — kisah pertama kali Institut Teknoloji MARA (ITM) meraikan konvokesyen pada bulan Oktober, bersempena ulang tahun penubuhannya. Sebelum itu, majlis sebegini lazimnya berlangsung pada bulan Januari.

Hari bersejarah itu disempurnakan oleh Y.B. Tan Sri Dato’ Dr. Mohd. Ghazali Shafie, Pengerusi Majlis Pentadbir ITM. Di hadapan para tetamu, seramai 248 graduan melangkah dengan penuh bangga menerima diploma masing-masing. Detik ini menjadikan jumlah keseluruhan lulusan ITM sejak 1964 mencecah 1,119 orang – suatu angka yang sangat bermakna ketika itu.

Tahun 1971 mencatatkan bilangan lulusan paling ramai dalam sejarah awal ITM. Setiap angka itu mewakili sebuah harapan. Seramai 19 graduan Diploma Akauntansi – program yang dimulakan pada 1966 – semuanya berjaya mendapat pekerjaan. Manakala 116 graduan Diploma Pengurusan Perniagaan melangkah ke sektor swasta dengan pendapatan sekitar $400–$500 sebulan, satu pencapaian yang membanggakan ketika itu.

Sementara itu, 20 graduan perintis Diploma Pengajian Perbankan diterima bekerja sebagai Pegawai Latihan dan Penolong Akauntan di institusi kewangan ternama. Nama-nama besar seperti Cold Storage, Lintas Advertising, Sime Darby, Dumex dan Nestlé pula membuka pintu kerjaya kepada 15 graduan kursus Pemasaran. Tidak ketinggalan, 17 graduan kursus Pengangkutan berkhidmat di Suruhanjaya Pelabuhan Swettenham, Keretapi Tanah Melayu serta syarikat perkapalan antarabangsa.

Pada waktu itu juga, ITM sudah pun menawarkan pelbagai bidang yang membentuk generasi profesional negara. Antaranya ialah Chartered Institute of Secretaries, Diploma in Private Secretarial Course, Diploma in Business Studies, Diploma in Planting Industry Management, Diploma in Forestry, Diploma in Industrial Chemistry, Diploma in Building Economics, Diploma in Art and Design (Fine Art, Graphic Design, Textile & Fashion Design), Diploma in Valuation dan School of Library Science.

Dari helaian naskhah inilah kita menyusuri sebuah perjalanan — bagaimana ITM mula melakar tapak, membina keyakinan, dan menyalakan obor ilmu untuk ribuan anak bangsa.

Sumber : Buku Majlis Penyampaian Diploma2 dan Hadiah2 Institiut Teknoloji Mara 1971/72. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM.