Pejabat ARI di Aras 12 Menara SAAS Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (Higher Institution Centres of Excellence, HICoE) merupakan sebuah program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bagi memacu kecemerlangan penyelidikan IPT di dalam bidang penyelidikan nic. Melalui program ini, JPT memberi penarafan HICoE kepada pusat kecemerlangan (Centre of Excellence, CoE) yang berprestasi tinggi dalam bidang penyelidikan nic.

HICoE yang telah diiktiraf telah menghasilkan impak kepada penghasilan bakat baru penyelidikan, penerbitan jurnal berimpak tinggi serta penghasilan inovasi yang dapat memberi bermanfaat kepada akademia, industri, kerajaan, komuniti dan persekitaran. Pemantauan prestasi secara berkala akan dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan selari dengan objektif program HICoE serta sebagai asas bagi penyaluran dana penyelidikan HICoE yang seterusnya.

Accounting Research Institute (ARI) menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) sebagai kumpulan Batch 1 pada 2010 bersama-sama 5 Universiti Awam yang lain. Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) pada asalnya ditubuhkan sebagai kumpulan minat khas pada tahun 2002. Peranannya adalah untuk membuka laluan kepada penyelidikan yang sistematik dan mantap dalam bidang perakaunan khususnya dalam aspek amalan dan teori perakaunan kewangan, kriminologi kewangan, tadbir urus korporat, perakaunan pengurusan, pelaporan kewangan, perakaunan sektor awam, percukaian dan sistem maklumat perakaunan.

Seiring dengan peredaran masa, ARI telah berkembang daripada sebuah kumpulan minat khas kepada sebuah pusat penyelidikan, dan kini menjadi sebuah institut penyelidikan. Pada November 2009, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf ARI sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HiCOE). Pada masa ini, ARI mempunyai lapan (8) pusat kecemerlangan di bawah naungannya.

Pusat-pusat ini ditubuhkan bersama melalui jalinan strategik dengan pelbagai badan profesional serta agensi berkaitan di peringkat nasional dan antarabangsa. Pusat-pusat penyelidikan tersebut ialah:

  • CIMA-UiTM Asian Management Accounting Research Centre (AMARC)

  • UiTM-MICG Corporate Governance Research Centre (CGRC)

  • UiTM-ACCA Financial Reporting Research Centre (FRRC)

  • UiTM-ACPE Asia-Pacific Forensic Accounting Research Centre (AFARe)

  • UiTM-CPA Australia Public Sector Accounting Research Centre (PSARC)

  • UiTM-ACCA Asia-Pacific Sustainability Research Centre (APCeS)

  • UiTM-GLC Government Linked-Companies Research Centre (GLCRC)

  • Islamic Accounting & Mu’amalat Research Centre (IAMRC)

Institut penyelidikan ini berhasrat untuk terus membina jalinan strategik dengan sekurang-kurangnya lima pusat penyelidikan bertaraf dunia yang diterajui oleh pusat-pusat penyelidikan dan kumpulan minat khas (SIG) ARI. ARI pada masa ini memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang khusus Kriminologi Kewangan Islam, selaras dengan aspirasi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai hab global bagi Kewangan Islam.

ARI diterajui oleh pengasasnya iaitu Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dr. Normah Haji Omar sejak 2010 sehingga beliau bersara dan kini dipimpin oleh Profesor Dr Zuraidah Mohd Sanusi berkuatkuasa 1 Mac 2024 sehingga kini.

Sumber : Laman web Accounting Research Institute (ARI)