Universiti Teknologi MARA telah meraikan pelancaran Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) pada 14 Jun 2012, di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Majlis ini bersempena memberi penghormatan kepada Pro Canselor, YBhg. Tan Sri Dato Seri Arshad Ayub sebagai pengasasnya dan inspirasi kepada penubuhan AAGBS yang dahulunya dikenali sebagai Graduate Business School. Majlis itu adalah anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP) dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi iaitu YB Dato’ Saifuddin Abdullah. Hadir sama pada majlis tersebut, Naib Canselor Dato’ Prof Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
Tan Sri Arshad dalam ucapannya berkata, universiti ini juga perlu mengutamakan budaya keusahawanan dengan menjadikan ilmu ekonomi, pengurusan, perakaunan dan perniagaan sebagai satu asas penting. Jelasnya, UiTM sudah terbukti menyumbang ke arah menyediakan pengajian profesional tinggi kepada anak Melayu khususnya dalam merealisasikan Dasar Ekonomi Baru.”
Beliau menyarankan supaya FPP menjemput Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada industri untuk menjadi pensyarah sambilan fakulti bagi membolehkan mahasiswa mendapat gambaran lebih jelas mengenai bidang perniagaan. “Jaringan dengan industri mesti ada kalau hendak melihat fakulti ini benar-benar memberi manfaat kepada mahasiswa. Saya mahu melihat setiap mahasiswa yang keluar UiTM ada asas dan disiplin perniagaan, lantas menjadi graduan yang hebat kelak, katanya.
Menurut beliau AAGBS perlu melaksanakan tugas berpandukan garis panduan yang ditetapkan untuk mendapat pengiktirafan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sekaligus diiktiraf dan diterima seluruh dunia. Justeru AAGBS juga harus peka dengan tuntutan industri dan masyarakat dan seharusnya bergerak selari dengan perkembangan teknologi yang pesat dalam usaha untuk menjadi lebih kompetetif dalam perkhidmatan perniagaan. Pada masa sama, program yang ditawarkan AAGBS iaitu Sarjana Pertadbiran Perniagaan (MBA, MSc.) dan Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan (PhD) akan tersenarai dalam program pasca siswazah yang terbaik di peringkat kebangsaan dan seiring dengan kehendak industri.
Sumber :
Salam@UiTM edisi 2012