Majlis Penyerahan Projek UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi telah berlangsung dengan jayanya pada 27 Mac 2013 (Selasa) di Auditorium Blok Dewan Kuliah UiTM Bukit Besi. Majlis ini disempurnakan oleh Tn. Hj. Shafii Bin Mohamad, Pengarah JKR Terengganu yang mewakili pihak JKR, kepada Prof. Sr. Ir. Dr. Hj. Suhaimi Abd. Talib, Penolong Naib Canselor UiTM yang mewakili Universiti Teknologi MARA (UiTM). Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Abdol Samad Bin Nawi (Rektor UiTM Kampus Dungun), Tn. Hj. Hanapi Bin Hamdan (Ketua Penolong Pengarah Kanan CPPT), Tn. Hj. Zulkifli Bin Awang (Penolong Pengarah Kanan CPPT/JKR Terengganu merangkap Wakil S.O Projek), pihak kontraktor, pasukan perunding, serta pegawai-pegawai daripada JKR dan UiTM.
Simbolik penyerahan projek dilakukan melalui penyampaian replika kunci daripada pihak kontraktor, TSR Bina Sdn. Bhd., kepada JKR Terengganu (Pejabat S.O Projek) sebelum diserahkan kepada UiTM. Projek ini dibiayai di bawah peruntukan PFI Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, dengan JKR melalui Cawangan Pendidikan & Pengajian Tinggi (CPPT) sebagai Pejabat Pengurus Program, manakala JKR Terengganu bertindak sebagai Pejabat Pegawai Penguasa Projek. HOPT bagi projek ini dipegang oleh Tn. Ir. Mohd Nor Bin Muda sehingga 30 November 2012 sebelum diambil alih oleh Tn. Ir. Hj. Ibtisham Bin L. Saleh (UPT3 CPPT) bermula 1 November 2012. Projek ini juga diterajui Jawatankuasa Penyerahan Projek yang diketuai oleh Tn. Hj. Zulkifli Bin Awang (Pengurus Pembinaan).
Projek ini dilaksanakan melalui kaedah Tender Terbuka/Konvensional (Perunding) yang merangkumi tiga pakej utama iaitu: Pakej 1 – 6 Blok Asrama, Pakej 2 – Perpustakaan, Pentadbiran, Kemudahan Sukan & Infrastruktur, dan Pakej 3 – Akademik, Dewan Kuliah & Makmal. Kontrak asal bernilai RM91.6 juta telah dianugerahkan kepada TSR Bina Sdn. Bhd., dengan tarikh milik tapak pada 24 Mac 2009 dan tarikh siap asal 21 Mac 2011. Kampus ini dibina khusus untuk pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Kimia.
Pihak kontraktor berjaya menyiapkan Pakej 1 pada 20 Disember 2012 melalui Perakuan Pendudukan Separa (CPO), manakala Perakuan Siap Kerja (CPC) bagi keseluruhan projek dikeluarkan secara rasmi pada 28 Januari 2013.
Ikuti maklumat Majlis Peletakan Batu Asas UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi pada 3 Februari 2008 yang disempurnakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di pautan https://library.uitm.edu.my/uitmmemory/acara/majlis-peletakan-batu-asas-uitm-terengganu-kampus-bukit-besi?highlight=WyJiZXNpIl0=
Majlis Penyerahan Projek UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi. Laman web Jabatan Kerja Raya (https://www.jkr.gov.my/my/node/590)