DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah – satu peristiwa bersejarah yang mengukir pencapaian baharu dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia. Perasmian ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam usaha memacu kecemerlangan dan inovasi, sekali gus memperluas akses pendidikan berkualiti kepada generasi muda.
UiTM Kampus Tapah mula beroperasi pada 1 Disember 2010 dengan enam unit bangunan dan seramai 25 pelajar pertama yang mengikuti pengajian Diploma Sains Aktuari dan Pra Diploma (Sains).
Fasa Kedua pula bermula pada tahun 2011 dan siap sepenuhnya pada 18 Januari 2014. Ia beroperasi sepenuhnya pada 21 April 2014 dengan kapasiti menampung 5,000 pelajar serta kemudahan kediaman yang boleh memuatkan 2,500 pelajar. Kampus ini turut menyediakan pelbagai fasiliti bertaraf moden seperti Kompleks Pentadbiran, Blok Fakulti, Perpustakaan, Pusat Pelajar, Pusat Islam, Bangunan Kafeteria, Unit Kesihatan, Kolej Kediaman dan lain-lain kemudahan bagi keselesaan para pelajar.

Pada masa ini, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah menawarkan tujuh (7) program utama merangkumi Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, penubuhan kampus ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pendidikan, tetapi turut mewujudkan ratusan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja muda dan profesional. Semangat padu dan dedikasi seluruh warga UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah terus menjadi pemangkin kekuatan dalam menjadikan institusi ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan negara.
DYMM Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat pameran yang disediakan sebelum berangkat ke majlis santapan dan berangkat pulang. Turut hadir memeriahkan majlis, Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman, barisan Pengurusan UiTM dan warga UiTM kampus Tapah.