Institut Teknologi MARA Cawangan Sabah atau lebih dikenali dengan YS-ITM telah dibuka pada Mac 1973 dan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, Ketua Menteri Sabah, pada bulan Ogos 1973 dengan pengambilan pertamanya seramai 159 pelajar, 10 pensyarah dan 15 orang kakitangan. Konsep penubuhan kampus cawangan ini adalah berasaskan kepada keperluan untuk mewujudkan peluang-peluang pelajaran kepada masyarakat luar bandar dan menjalankan kursus-kursus bagi mengeluarkan tenaga professional yang sejajar dengan kehendak dan keperluan ekonomi tempatan.
Kampus ini ditubuhkan hasil usaha dan kerjasama di antara ITM dengan Yayasan Sabah. Pada mulanya kampus ini dijadikan sebagai sebuah kampus ‘feeder’ kepada kampus induk ITM Shah Alam, dengan hanya menawarkan kursus-kursus untuk tahun pertama dan kedua sahaja. Terdapat dua kursus yang boleh ditamatkan di YS-ITM iaitu kursus Diploma Pentadbiran Awam dan Diploma Sains Kesetiausahaan. Sementara kursus Diploma Pengurusan dan Diploma Perakaunan masih perlu ditamatkan di kampus induk Shah Alam pada tahun akhir pengajian.
Sehingga tahun 1990 terdapat dua kampus YS-ITM iaitu Kampus Sembulan dan Kampus Kuala Menggatal. Kampus Sembulan mengandungi sebuah bangunan tiga tingkat yang terletak di atas kawasan seluas 10 hektar. Bangunan kepunyaan Yayasan Sabah ini dipinjamkan untuk kegunaan YS-ITM sejak tahun 1973 lagi dan pada tahun 1982, sebilangan besar pelajar telah dipindahkan ke kampus baharu di Kuala Menggatal. Kampus Kuala Menggatal pula adalah seluas 305 hektar persegi dan merupakan kampus tetap ITM sehingga kini.
Pada bulan Disember 1996, ITM Kampus Tawau pula mula beroperasi dan telah dirasmikan oleh Yang Behormat Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada 10 Jun 1997. Bersempena majlis perasmian tersebut, ITM Kampus Tawau diisytiharkan sebagai Kampus Kota dari segi perlaksanaan operasinya dan merupakan sebagai ‘feeder’ untuk kursus-kursus Diploma yang ditawarkan oleh ITM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu.
Bangunan pertama Yayasan Sabah- ITM di Sembulan, Kota Kinabalu 1973.
Perletakkan batu asas Yayasan Sabah – ITM pada 24 Feb 1979 oleh Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Adnan Robert.
Pemandangan Yayasan Sabah- ITM, Kuala Menggatal, Kota Kinabalu Sekitar tahun 1980an.
Sumber :
- ITM Warisan Bangsa
- Laman Sesawang, UiTM Cawangan Sabah
- Laman Sesawang, UiTM Cawangan Sabah