Kampus Jalan Othman

 

Kampus Selayang

Kampus Sungai Buloh

 

Kampus Shah Alam

Fakulti Perubatan UiTM ditubuhkan secara rasmi pada bulan November 2002 oleh Kementerian Pendidikan yang bertempat di UiTM Kampus Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. Bermula dari 1 Disember 2002 hingga 14 Mac 2004, fakulti ini berada di bawah naungan Profesor Dr. Abdul Rahim Mohd Noor sebagai Dekan asas dan kemudiannya dilantik sebagai Dekan Fakulti Sains Kesihatan. Kepemimpinan fakulti kemudian diteruskan oleh Profesor Dato’ Dr. Khalid Yusoff pada 15 Mac 2004 hingga 1 September 2013. Bermula 15 Mac 2004, Fakulti Perubatan ditempatkan di Menara 1, Bangunan Sains dan Teknologi di kampus utama UiTM Shah Alam.  Pengambilan pertama 20 pelajar perubatan diterima pada bulan Jun 2003 dan mereka menamatkan pengajian pada bulan April 2008. Menjelang tahun 2011 jumlah pengambilan pelajar fakulti adalah sekitar 250 orang setiap tahun.

Pada 21 Januari 2010, secara rasminya kampus UiTM Selayang diserahkan kepada Fakulti Perubatan. Pada tahun yang sama, pelajar tahun 4 dan 5 serta staf pentadbiran berpindah ke kampus Selayang manakala Pelajar tahun 3 serta aktiviti penyelidikan berpindah ke kampus Sungai Buloh. Walau bagaimanapun, pengajaran pra-klinikal dan pendedahan klinikal awal (ECE) untuk pelajar pra-klinikal dilakukan di kampus utama UiTM Shah Alam. Pelajar-pelajar klinikal tersebut kebanyakannya bertugas di Hospital Selayang, Hospital

Sungai Buloh, Hospital Teluk Intan dan klinik-klinik kesihatan kerajaan. Dalam pada itu, Fakulti Perubatan UiTM Kampus Teluk Intan, Perak juga telah memulakan pembinaannya pada 21 Januari 2009 hingga 31 Julai 2010 dan diserahkan kepada UiTM pada 1 November 2010.

Selepas kampus utama Fakulti Perubatan Sungai Buloh siap dibina pada Jun 2012, semua staf pentadbiran dan akademik telah berpindah dari kampus utama UiTM Shah Alam ke kampus Sungai Buloh. Pengajaran dan kelas untuk pra-klinikal dan klinikal kemudian dimulakan di kampus Sungai Buloh. Selain dari kemudahan pengajaran, fakulti juga memperluaskan perkhidmatan Klinik Pakar di Kampus Selayang dan Pusat Latihan Klinikal (CTC) di Sungai Buloh. Pada tahun 2016, Pusat Latihan Klinikal (CTC) telah dimumkan sebagai Pusat Pakar Perubatan UiTM (PPUiTM).

Pembinaan Hospital Pengajar UiTM di Kampus Puncak Alam menjadi pelengkap kepada Fakulti Perubatan UiTM. Ia berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu perubatan kepada pelajar di samping sebagai pusat perkhidmatan penjagaan kesihatan dan rawatan kepada masyarakat. Majlis penyerahan Hospital UiTM Puncak Alam telah diadakan pada 23 Mac 2021 yang disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi iaitu YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.


Sumber :

  1. Fakulti Perubatan UiTM.
  2. Buku Majlis Perasmian Fakulti Perubatan Kampus Teluk Intan.
  3. Video Majlis Penyerahan Hospital UiTM Puncak Alam.