Fakulti Perubatan UiTM Kampus Teluk Intan memulakan pembinaannya pada 21 Januari 2009 dan siap pada 31 Julai 2010. Kampus ini diserahkan kepada UiTM pada 1 November 2010. Terletak di atas tanah seluas 10 ekar di Jalan Changkat Jong, bersebelahan dengan Hospital Teluk Intan, kampus bercirikan futuristik ini telah menarik perhatian masyarakat dan mendapat jolokan sebagai mercu tanda kedua di Teluk Intan selepas Menara Condong Teluk Intan.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah lbni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah AI-Maghfur-Lah, berkenan mencemar Duli berangkat sempena Majlis Perasmian Fakulti Perubatan Kampus Teluk lntan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 18 Julai 2017 jam 9.30 pagi di Fakulti Perubatan UiTM Kampus Teluk Intan, Jalan Changkat Jong Teluk Intan.
Kehadiran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Amat Mulia Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan dan Pembesar Negeri turut mencemar Duli Ke Majlis Perasmian Fakulti Perubatan Kampus Teluk lntan Universiti Teknologi MARA.
Kampus ini menempatkan sebuah blok akademik dan sebuah blok kediaman pelajar yang dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran seperti dewan kuliah, bilik perbincangan, perpustakaan dan lain-lain. Dalam aspek penglibatan komuniti, pelbagai aktiviti perubatan masyarakat di Teluk Intan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat. Pejabat Kesihatan Teluk Intan bersama Majlis Bandaraya Teluk Intan banyak membantu merealisasikan aktiviti ini yang bertujuan melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan kebolehupayaan dalam perkhidmatan kesihatan masyarakat.

Selain itu, pelbagai aktiviti promosi kesihatan dan pendidikan awam dijalankan dengan bimbingan pakar kesihatan awam di fakulti dan di pejabat kesihatan. Aktiviti ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cabaran dalam pengurusan kesihatan masyarakat, di samping memberikan khidmat kepada warga Teluk Intan bagi meningkatkan tahap kesihatan mereka.
Fakulti dan universiti berharap agar kewujudan Fakulti Perubatan Kampus Teluk Intan akan menjadi mercu utama dalam perkembangan kesihatan masyarakat di Teluk Intan khususnya, dan bakal muncul sebagai pusat kecemerlangan yang membanggakan.
Ikuti sejarah penubuhan Fakulti Perubatan UiTM di pautan https://library.uitm.edu.my/uitmmemory/ptj/fakulti/fakulti-perubatan-uitm?highlight=WyJ0ZWx1ayIsImludGFuIl0=