Biografi YBM Tan Sri Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah
Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah, lebih dikenali sebagai Tengku Razaleigh Hamzah, dilahirkan pada 13 April 1937 di Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Beliau merupakan putera kelima kepada Tengku Mohd Hamzah bin Tengku Zainal Abidin dan Nik Zainab binti Nik Ali. Pasangan ini dikurniakan enam cahaya mata – tiga puteri dan tiga putera. Kakanda beliau ialah Tengku Azizah (1927), Tengku Zain (1931), Tengku Maziah (1932), diikuti putera sulung keluarga Tengku Abdul Aziz (1933). Selepas itu lahirlah Tengku Razaleigh (1937), dan yang bongsu, Tengku Robert (1939).
Ayahanda beliau, Tengku Mohd Hamzah, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan Menteri Besar Kelantan. Didikan ayahanda yang berpendirian tegas serta kasih sayang bonda telah membentuk peribadi beliau sebagai seorang yang berdisiplin, berwawasan dan berjiwa rakyat. Tengku Razaleigh mendapat pendidikan awal di sekolah agama Majlis Ugama Islam Kelantan, kemudian melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu. Pada tahun 1954, beliau memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), namun berpindah ke Sekolah Anderson, Ipoh, di mana beliau menamatkan pelajaran dengan cemerlang sebagai Pelajar Terbaik Post-School Certificate.
Pada akhir tahun 1955, beliau berangkat ke United Kingdom dan menuntut dalam bidang Ekonomi di Queen’s University, Belfast, Ireland, sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi (1958). Kemudian, beliau menyambung pengajian undang-undang di Lincoln’s Inn, London (1959–1961), tetapi terpaksa pulang ke tanah air apabila ayahandanya mangkat pada 25 Februari 1962. Walaupun tidak sempat menamatkan pengajian undang-undang, beliau dikenang sebagai pemimpin pelajar aktif – pernah menjadi Presiden Kesatuan Penuntut Malaya serta Setiausaha Persatuan Melayu UK, dan mempunyai hubungan rapat dengan tokoh kemerdekaan termasuk Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.
Dua dekad kemudian, Queen’s University menganugerahkan beliau Ijazah Doktor Kehormat Undang-undang sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau. Kerjaya dalam Kerajaan & Politik
Kepimpinan Tengku Razaleigh terserlah sejak awal penglibatannya dalam kerajaan. Beliau pernah:
-
Menteri Kewangan Malaysia (1976–1984)
-
Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (1984–1987)
Sumbangan besar beliau termasuklah:
-
Merintis hubungan diplomatik Malaysia–China pada tahun 1974.
-
Memimpin rundingan strategik untuk menguruskan pemilikan saham Sime Darby dan Guthrie, syarikat gergasi yang kemudiannya kembali ke tangan Malaysia.
Sebagai seorang tokoh korporat dan strategis ekonomi, beliau merupakan:
-
Pengasas & Pengerusi/CEO Petronas (1974–1976)
-
Pengasas & Pengarah Eksekutif Bank Bumiputra (1965–1970)
-
Pengerusi & Pengarah Urusan Bank Bumiputra (1970–1976)
-
Pengerusi Pernas (1970–1974)
-
Presiden Dewan Perniagaan & Industri Malaysia (1973–1976)
-
Presiden Dewan Perniagaan & Industri Melayu Malaysia (1970–1976)
-
Presiden ASEAN Chambers of Commerce (1975–1976)
Di peringkat antarabangsa, beliau diiktiraf sebagai:
-
Pengerusi Bank Pembangunan Asia (1976–1977)
-
Pengerusi IMF & Bank Dunia (1977–1978)
-
Pengerusi Bank Pembangunan Islam (1978–1979)
Di mata rakyat, khususnya di kawasan Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh terkenal sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, rendah hati, pemurah dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan masyarakat. Pembangunan pesat di kawasan tersebut mencerminkan visi beliau dalam memperkasa taraf hidup rakyat. Sepanjang hayatnya, Tengku Razaleigh dikenali sebagai seorang tokoh berwawasan, pintar mengatur strategi ekonomi, serta disegani di dalam dan luar negara.
Sebagai tanda penghormatan atas jasa beliau dalam memartabatkan kewangan dan ekonomi negara, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan penuh takzim mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah atas penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kewangan).


Sumber :