Kampus induk Institut Teknologi MARA (ITM) telah terpilih sebagai perkampungan sukan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) ke-7 bermula 10 hingga 26 April 1998. SUKMA adalah sebuah acara beraneka sukan dwitahunan peringkat kebangsaan yang disertai atlet muda dari 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia. Kejohanan tersebut dikawal selia oleh Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis-Majlis Sukan Negeri, majlis Olimpik Malaysia dan Persatuan Sukan kebangsaan acara sukan yang dipertandingkan di temasya sukan tersebut.
Pemilihan kampus induk ITM sekaligus mencatat sejarah tersendiri kerana diberi peluang oleh Kerajaan Selangor untuk mengendalikan lebih 7 ribu atlet dan pegawai bagi kesemua kontingen seluruh Malaysia. Pemilihan ini bersesuaian dengan pembangunan infrastruktur kampus induk yang diakui mempunyai kemudahan terbaik sama ada untuk penginapan serta infrastruktur sukan yang disediakan. ITM dilengkapi dengan hotel, gelanggang sukan, kemudahan bank dan pejabat pos untuk digunakan sepanjang program berlangsung. Untuk termasya ini, ITM bertanggunjawab menyediakan tempat penginapan yang selesa dan selamat kepada atlet, pegawai dan petugas SUKMA.
Perasmian perkampungan SUKMA ke-7 disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar dan turut hadir bersama ialah Pengurusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA ke-7, Encik Ch’ng Toh Eng dan Rektor ITM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penginapan dan Penyajian. Satu kebanggaan kepada ITM apabila Dato’ Dr. Sabree Salleh, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi telah dilantik menjadi tenaga penting SUKMA iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknik dan Pertandingan.
Sumber :
Berita ITM Januari 1998
Berita ITM April 1998