Institut Teknologi MARA melancarkan Piagam Pelanggannya pada 14 Disember 1993, yang menjanjikan layanan bertanggungjawab, ikhlas, mesra, segera dan tepat kepada pelajar, kakitangan, ibu bapa dan industri.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid melancarkan piagam itu sempena kemuncak Minggu Kualiti ITM 1993 di kampus induk ITM. Beliau berkata piagam pelanggan mestilah mudah difahami oleh orang ramai dengan menerangkan apa yang boleh mereka perolehi, apa yang perlu dilakukan, bila dan bagaimana melakukannya.
Kepada pelajar, ITM menjanjikan ilmu yang diredai, peluang pembangunan sahsiah, perwakilan diri atau pendapat dan layanan penuh tanggungjawab, berwawasankan sumber-sumber manusia beriman, berilmu dan beramal.
Kepada kakitangan, ITM menjanjikan kerjaya dan ganjaran berpadanan, peluang pengembangan ilmu dan kerjaya, kemudahan dan suasana kerja yang praktis, perwakilan diri atau pendapat dan layanan tanggungjawab, berwawasankan manusia pekerja beramanah, cekap dan berkesan.
Sumber :
1.Berita ITM tahun JANUARI 1994, hal. 7.