Program Wacana Ilmu merupakan inspirasi Yang Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi ke arah menyuburkan aktiviti perkongsian ilmu dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis. Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan dan Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Perlis sebagai penganjur bersama akan menjemput panel-panel dari pelbagai bidang dalam kalangan warga untuk berkongsi kepakaran, pengalaman, amalan-amalan terbaik, isu-isu semasa, pembacaan pilihan dan apa jua yang dirasakan sesuai bagi menggalakkan pembudayaan dan pemerkasaan ilmu.
Wacana Ilmu pada kali ini dimulakan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, En. Mohd Khairul Ab Razak sebagai penceramah. Program ini telah diadakan pada 16 Julai 2024 bertempat di Bilik Latihan, Bangunan Pentadbiran UiTM Cawangan Perlis. Program ini telah berlangsung selama 1 jam dengan perkongsian menarik oleh penceramah berkenaan tanggungjawab menjaga kerahsiaan bagi penjawat awam mengikut peraturan dan pekeliling yang telah digariskan oleh Universiti Teknologi MARA antaranya:
- Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88)
- Pekeliling Naib Canselor Bil. 5/2019
- Kod Nilai dan Etika Warga UiTM
- Surat Edaran Naib Canselor (Tindakan kepada warga UiTM yang membocorkan maklumat)
- Dasar ICT UiTM2.0 (Tahun 2020)
Program ini telah dihadiri oleh ketua-ketua bahagian dan unit UiTM Cawangan Perlis. Dengan adanya program seperti ini, ia dijangkakan dapat menarik lebih ramai warga UITM Cawangan Perlis untuk lebih membaca dan meningkatkan pengetahuan.