Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam, UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan Program World Quran Hour : Tadabbur Surah Al-Jumu’ah pada 4 April 2024 bersamaan 24 Ramadhan 1445H.
Program telah dijalankan serentak pada jam 12.00-1.00 tengahari waktu Malaysia di seluruh dunia. Program ini berkonsepkan tadabbur serta berinteraksi dengan Al-Quran melalui baca, faham dan amal. Dimulakan dengan bacaan surah Al-Jumu’ah dengan dibimbing oleh Ustaz Khairul Azwad Ibrahim, Penolong Pendaftar Hal Ehwal Islam daripada Unit Hal Ehwal Islam, UiTM Cawangan Selangor.
Surah Al-Jumu’ah dipilih untuk tahun ini yang memberikan panduan kepada kita bahawa berkumpulnya ummah di masjid, mendengar khutbah dan solat kemudian mereka bertebarlah di muka bumi, bagi menjana ekonomi dan kekuatan ummah.
Program yang diadakan selama 1 jam melalui platform Cisco Webex telah dihadiri oleh 517 peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf UiTM Cawangan Selangor. Peserta telah memberikan maklumbalas yang positif pada ruangan komen sepanjang program berlangsung.
Program ini mampu menzahirkan rasa syukur dan kecintaan kepada Allah S.W.T. Penganjuran program berbentuk kerohanian ini dapat memberikan semangat dan kekuatan moral kepada warga UiTM dalam mentransformasi pemikiran warga UiTM. Program ini juga dapat mengajak warga UiTM Cawangan Selangor bersama-sama untuk berinteraksi dengan Al quran baca, faham, amal sebagai usaha bagi menggarap nilai nilai mulia yang dihayati daripada surah Al-Jumu’ah bagi membentuk cara hidup yang membawa kepada matlamat melahirkan legasi akhlak untuk membangun negara & dunia yang berbudi dan penyayang.