22 Mac 2024, Jumaat – PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah telah menganjurkan Program Tadabbur dan Tadarus Al-Quran Peringkat UiTM Cawangan Melaka, sempena Menyambut Bulan Ramadan 1445H. Program dijalankan bertempat di Sudut Azka – PPZ, PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, bermula 9.00 pagi hingga 11.30 pagi dan melibatkan Staf PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.
Al-Quran adalah kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir dan membaca setiap hurufnya adalah ibadah, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Naas.
Terima kasih kepada Ustaz Hj. Saiful Anuar Mohamed Sani, Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Islam, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Melaka selaku pemimpin tadabbur dan tadarus bagi program kali ini.
Tadabbur merupakan usaha untuk mencari makna disebalik zahir sesuatu perkara, penjelasan dan penerangan. Tadabbur juga digunakan untuk setiap usaha manusia untuk mendalami hakikat sesuatu perkara.
Dalam program yang dianjurkan ini, Ustaz Hj Saiful telah mengupas maksud disebalik surah Al-Fatihah dan 5 surah Al-Baqarah, manakala bagi majlis tadarus, peserta telah sama-sama menyelesaikan membaca Juz 3.
Antara objektif program ini dijalankan adalah :
1. Mengeratkan silaturrahim staf PTAR dalam program ilmu
2. Meningkatkan iman dalam diri
3. Mudah memahami maksud ayat al-Quran
4. Ketenangan membaca al-Quran
5. Dikurnia hidayah dan petunjuk
Semoga Ramadan tahun ini kita semua mengambil peluang untuk mempertingkatkan lagi amalan dan ibadat kita dalam bulan yang penuh barakah ini dan menjadi asbab kepada redha Allah S.W.T.