
UiTM Perlis merupakan kampus cawangan UiTM yang terbesar dan antara yang tertua. Ia terletak di Bandar Diraja Arau, kira-kira 13 kilometer dari Kangar, ibu negeri Perlis. UiTM Perlis juga merupakan kampus pertama UiTM yang menyertai gagasan IMT-GT (Indonesia, Malaysia, Thailand – Pembangunan Segitiga).
ITM Cawangan Perlis telah dirasmikan pada 5 Julai 1974 dengan pengambilan pertama seramai 258 orang pelajar. Pada peringkat awal, ia menawarkan satu program persediaan dan lima program diploma, iaitu Diploma Perakaunan, Diploma Pentadbiran Awam, Diploma Sains Kesetiausahaan, Diploma Pengurusan dan Perindustrian Ladang, serta Diploma Pengurusan Perniagaan. Ketika itu, terdapat 15 orang tenaga pengajar yang dibantu oleh 31 kakitangan pentadbiran dan sokongan.

pertama ITM Cawangan Perlis, 1974 (Gambar bawah).
Pada peringkat awal operasinya, kampus ITM Cawangan Perlis menumpang di sebuah bangunan Rumah Pengakap yang diubahsuai di Jalan Padang Katong, Kangar sebagai kampus sementara. Manakala asrama pelajar pula disediakan melalui rumah-rumah persendirian yang disewa di sekitar Kangar oleh pihak pengurusan ITM. Dalam masa yang sama, perancangan pembinaan kampus tetap telah mula dibuat.

Hasilnya, pada 27 Julai 1978, upacara perletakan batu asas kampus tetap di Arau telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Dua tahun kemudian, pada 1980, ITM Cawangan Perlis berpindah secara rasmi ke kampus tetap di Arau di atas sebidang tanah seluas 335 ekar yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Perlis. Bermula tahun 1999, kampus ini dikenali sebagai UiTM Perlis.
Pada tahun 2002, keluasan tanah UiTM Perlis meningkat kepada 464 ekar hasil kurniaan DYMM Raja Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis. Daripada jumlah itu, 240 ekar diperuntukkan untuk Unit Ladang yang bertujuan menyediakan kemudahan latihan praktikal dan penyelidikan. Selain itu, Unit Ladang juga dijadikan sebagai destinasi tarikan pelancongan dengan pelbagai tanaman seperti getah, pisang, mempelam, ciku, dan sayur-sayuran, serta ternakan rusa, burung unta, lembu dan ayam katik.

Bangunan Blok Pensyarah, Dewan Baru, Markas PALAPES, Bangunan Khidmat Siswa Pelajar dan Kolej kediaman baru pada tahun 2012.
Sebagai kampus cawangan terbesar, UiTM Perlis menempatkan bilangan pelajar yang ramai. Pada 1 Februari 2004, jumlah pelajar sepenuh masa ialah 5,300 orang termasuk tiga orang pelajar cacat penglihatan. Kakitangan akademik pula seramai 303 orang manakala kakitangan bukan akademik berjumlah 324 orang.

Bagi menjamin keselesaan warganya, UiTM Perlis menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan rekreasi. Antaranya termasuk lima kolej kediaman siswa, sembilan kolej kediaman siswi, empat blok dewan makan, sebuah perpustakaan, 90 bilik kuliah, lima dewan syarahan, 11 makmal sains, 10 makmal komputer, dua makmal bahasa, tujuh bengkel kejuruteraan, sebuah dewan besar, sebuah stadium mini, gimnasium, Pusat Islam, Unit Ladang, dua blok kafeteria, sebuah kompleks medan selera dan dua buah mesin ATM. Beberapa kemudahan seperti asrama, dewan besar dan gimnasium turut disewakan kepada orang ramai.
Telusuri lebih lanjut di pautan sejarah penubuhan ITM Cawangan Perlis dan saksikan peranan besar Barisan Peneraju dalam membina asas kecemerlangan pendidikan tinggi di negeri utara Malaysia ini.
Sumber : Buku 30 Tahun Melakar Sejarah Mendidik Bangsa Terbitan Khas Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-30 UiTM Perlis. Julai 2004. Koleksi Unit Arkib UiTM Cawangan Perlis.