Seiring dengan perkembangan pendidikan, Maktab MARA di bawah pimpinan Encik Arshad Ayub, Pengarah ITM, telah mengambil langkah awal dan pertama di Malaysia untuk menubuhkan Kajian Sains Aktuari, Statistik, Matematik, Ekonometri dan Sibernetik (ASMEC) di Kampus Jalan Othman, Petaling Jaya pada tahun 1966. Bidang perangkaan adalah kursus pertama  ditawarkan dan diikuti oleh sains aktuari setahun kemudian ketika Maktab MARA di tukar nama kepada Institiut Teknoloji MARA. Ini adalah untuk melengkapkan pelajar pada ketika itu untuk peperiksaan Institute of Statisticians (United Kingdom) dan Institute of Actuaries (United Kingdom).

Pada tahun 1969, Institiut Teknoloji MARA telah mengambil langkah berani dengan memperkenalkan program dalaman iaitu Kursus Diploma Sains Komputer dengan jumlah pelajar seramai 115 orang. Pada tahun 1970, Kajian ini telah berpindah ke kampus baharu di Shah Alam bertempat di bangunan Menara tingkat empat, lima dan enam. Tidak lama kemudian, tahun 1974, Kajian ini telah menukar nama kepada Kajian Sains Matematik dan Komputer dan sekaligus program luaran secara perlahan-lahan telah ditukarkan kepada program berbentuk dalaman seperti Diploma Statistik dan Diploma Sains Aktuari.

Kursus-kursus ini telah dipanjangkan ke Kampus-kampus Cawangan yang lainnya di Malaysia dimana para pelajar ini akan ditempatkan di Kampus Cawangan sehingga semester tiga sahaja dan seterusnya menyambung pengajian di kampus induk Shah Alam sehingga tamat. Pada tahun 1997, kajian ini telah bertukar nama kepada Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif (FTMSK) seiring dengan perkembangan ITM pada ketika itu dan seterusnya pada tahun 2003 berpindah ke bangunan baharu yang lebih besar. Kini FTMSK telah ditukar nama dan dikenali sebagai Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM).

Pemandangan Bangunan Baharu Fakulti Teknologi Maklumat & Sains Kuantitatif sekitar tahun awal tahun 2000-an

Pemandangan Bangunan Baharu FTMSK Sekitar Tahun 2006

Pelajar Menghadiri Kuliah di Makmal Komputer sekitar tahun 1980-an

Pelajar Menghadiri Kuliah di Makmal Komputer pada awal tahun 1990-an

Sumber :

  1. ITM Warisan Bangsa                                     
  2. Institut Teknologi MARA : Sejarah
  3. Shaping A Dream : From Dewan Latehan RIDA to UITM 1956 -1999
  4. Achieving A Dream… A Story of Courage
  5. Buletin KSMK
  6. Kertas Kerja KSMK
  7. Laman Sesawang, FSKM