Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang Yang Amat Arif Tun Arifin Zakaria
Istiadat Konvokesyen UiTM ke 84 (2016)
Anugerah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Seri Utama (Dr) Arshad Ayub, Pro Canselor UiTM semasa Istiadat Konvokesyen UiTM ke 84 pada 23 April 2016 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM.

Yang Amat Arif Tun Arifin bin Zakaria dilahirkan pada 1 Oktober 1950 di Kampung Repek, sebuah pekan yang terletak di Jajahan Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. Beliau merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beradik kepada pasangan Zakaria bin Senik dan Wan Zainab bin Wan Yusoff. YAA Tun dan adik-beradiknya dibesarkan dalam suasana kampung dan keluarga yang sederhana. Walau bagaimanapun, semangat untuk terus belajar dan menuntut ilmu dalam diri YAA Tun tidak pernah padam walau terpaksa mengayuh basikal sejauh 14 batu saban hari antara rumah ke sekolah pada masa itu. Dorongan dan kata-kata ibu supaya mengutamakan pelajaran dalam hidup sentiasa menjadi inspirasi dan motivasi untuk YAA Tun terus mengejar impiannya. YAA Tun mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tiang Chandi, Repek Pasir Mas (1956- 1958) sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Gual Periok, Pasir Mas (1959-1960). Kemudian, pada tahun 1961 YAA Tun melangkah ke Sekolah Sultan Ibrahim, Pasir Mas, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Ibrahim, Pasir Mas, pada 1964, dan seterusnya diterima masuk ke Maktab Sultan Ismail apabila melanjutkan pelajaran di tingkatan enam, Kota Bharu, Kelantan pada 1965. Berbekalkan keputusan yang cemerlang atas usaha beliau di samping doa dan sokongan daripada keluarga, pada tahun 1971 YAA Tun telah diterima melanjutkan pelajaran ke University of Sheffield, United Kingdom dalam bidang undang-undang dan dianugerahkan Bachelor of Laws LLB (Hons), pada tahun 1974.

Pada tahun yang sama, beliau telah memulakan langkah dalam arena perundangan negara apabila menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Seterusnya, pada tahun 1978 YAA Tun telah dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang, Kementerian Perusahaan Utama sebelum melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Minat yang mendalam dalam bidang perundangan menguatkan lagi semangat YAA Tun untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di University College of London dalam bidang undang- undang percukaian pada tahun 1978 dan pada masa yang sama turut mengikuti kursus Bar Final di Council of Legal Education. Berkat usaha gigih, YAA Tun telah lulus peperiksaan akhir undang-undang tahun 1979 dan diterima masuk sebagai Barrister at Law oleh Lincoln's Inn. Kejayaan yang diperoleh YAA Tun sepanjang pengajiannya telah melayakkan beliau untuk menerima penganugerahan Master of Laws (LLM) oleh University College of London. YAA Tun sentiasa mengambil berat akan kepentingan pendidikan anak-anak, termasuklah ilmu agama. Kini, kelima-lima orang anak YAA Tun telah pun berjaya dalam bidang dan kerjaya masing- masing sebagai seorang peguam, akauntan, usahawan, majistret dan doktor perubatan. Keperibadian YAA Tun sangat dikagumi oleh rakan-rakan seperjuangannya. Ini kerana dalam persahabatan, YAA Tun menganggap rakan adalah ibarat keluarganya.

Dalam kalangan rakan-rakan, YAA Tun dikenali sebagai seorang yang berperwatakan tegas, pendiam, mudah mesra, jujur dan ikhlas terutamanya ketika melaksanakan tugasnya. Namun, di sebalik ketegasannya menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Hakim Negara, YAA Tun sangat profesional dalam membahagikan antara hal kerja dengan hal peribadi. Prinsip yang dipegang teguh ini selaras dengan ciri-ciri dan etika sebagai seorang hakim yang harus menjaga batas hubungan dengan orang awam. Setiap hakim juga perlu berfikiran terbuka terhadap mana-mana pihak yang dituduh sehingga terbukti bersalah berdasarkan keterangan dan hujah-hujah daripada semua pihak untuk dipertimbangkan pada tahap di luar keraguan yang munasabah. Itulah yang sentiasa ditekankan serta dilakukan oleh YAA Tun dalam dirinya apabila perlu menghakimi sesuatu kes yang dibicarakan. Bagi YAA Tun, setiap keputusan yang dibuat dalam mahkamah tidak ada terkait langsung dengan mana-mana pihak atau kepentingan peribadi. Lebih penting bagi beliau, adalah melunaskan amanah yang diberi dengan jujur, adil dan saksama mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

Yang Amat Arif Tun Arifin mendirikan rumahtangga bersama Toh Puan Robiah bt Abdul Kadir pada 10 Julai 1975 dan mereka telah dikurniakan dengan lima orang cahaya mata, Mohd Arief Emran, Mohd Arief Aslam, Mohd Arief Azree, Aina Azahra dan Anis Diyana. YAA Tun dan Toh Puan merupakan ninda kepada lapan orang cucu, yang ditatang ibarat minyak yang penuh. Didikan awal ayah bonda yang sentiasa mementingkan solat dan ajaran agama sebagai pegangan hidup sejak dari kecil lagi, menjadi panduan YAA Tun dalam mendidik anak-anak. Walaupun mempunyai sifat yang tegas sesuai dengan perwatakan sebagai seorang Ketua Hakim Negara, namun dalam hubungan beliau bersama isteri dan juga anak-anak jelas terserlah kasih sayang dan kemesraan yang terpupuk erat dengan adab sopan ketimuran, baik dalam tutur kata, tingkah laku mahupun pegangan hidup. YAA Tun sangat rapat dengan ahli keluarganya, lebih-lebih lagi cucu-cucunya yang menjadi sumber inspirasi dan tempat beliau meluangkan masa lapang.

Hubungan kasih sayang mereka sangat kukuh, malahan setiap minggu YAA Tun dan keluarganya akan berkumpul makan bersama-sama yang juga menjadi amalan sejak dulu lagi. Setiap kali bersama keluarga merupakan detik-detik indah yang diukir dalam coretan ceritera hidup YAA Tun kerana bagi beliau, ahli keluarga adalah kekuatannya. Bahkan, hampir setiap hari YAA Tun akan meluangkan masa untuk pulang makan tengah hari bersama isteri tercinta yang menjadi tulang belakang, dalam kerjaya dan hidup.

Pada tahun 1992, YAA Tun telah dilantik menyandang jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1994. Selain itu, YAA Tun juga pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2002 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2005 dan kemudian sebagai hakim Besar Malaya pada Oktober 2008. Hari berganti hari, bulan beralih bulan, tahun silih berganti, kredibiliti YAA Tun semakin disanjung tinggi untuk memimpin tampuk kehakiman negara dan ini terbukti apabila pada 12 September 2011, YAA Tun telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia. Sumbangan pemikiran dan kepakaran YAA Tun khususnya dalam membantu pembangunan serta kemajuan arena kehakiman meletakkan

YAA Tun sebagai seorang tokoh kehakiman yang disegani. Sesungguhnya penglibatan YAA Tun dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman ini yang menjangkau hampir 42 tahun menjadikan beliau seorang yang mempunyai pengalaman yang luar biasa dalam bidang perundangan yang sukar ditandingi di negara ini. Sebelum jawatan Ketua Hakim Negara, kepimpinan YAA Tun terserlah sejak penglibatan beliau dalam kerjaya perundangannya seawal tahun 1974. Sebaik tamat pengajian ljazah pertamanya pada tahun 1974, YAA Tun telah kembali ke tanah air menabur bakti dengan menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan negara.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, YAA Tun telah pun diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menyandang pelbagai jawatan termasuklah Peguam Persekutuan dan Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Majistret, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi serta Presiden Mahkamah Sesyen. Berbekalkan amanah yang diberi, YAA Tun melangkah memantapkan kerjayanya dengan pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki sehingga dilantik untuk menyandang jawatan Penasihat Undang-Undang di Jabatan Perkhidmatan Awam, di samping menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri di Melaka dan Perak. YAA Tun sentiasa berusaha menggerakkan Badan Kehakiman Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan memastikan maruah serta kehormatan Badan Kehakiman Malaysia disanjung tinggi sehingga ke peringkat dunia.

Salah satu usahanya melalui undang-undang persekitaran. Undang-undang persekitaran juga merupakan antara bidang yang diminati oleh YAA Tun kerana bagi beliau, aspek undang-undang persekitaran adalah sangat penting terutama kepada kehidupan manusia dan juga dunia. Amanah yang diberi apabila kita menggunakan persekitaran alam sekitar hendaklah dijaga dan dipelihara untuk generasi akan datang.

Atas kepakaran dan ketokohannya itu, YAA Tun telah dilantik memegang beberapa jawatan di peringkat antarabangsa oleh United Nations VS Environment Programme (UNEP) iaitu program yang menyumbang ke arah pembangunan dan pelaksanaan undang-undang alam sekitar termasuklah: · Pengerusi Bersama Kongres Dunia Mengenai Keadilan, Pentadbiran dan Undang-Undang untuk Kelestarian Alam Sekitar (World Congress on Justice, Governance and Law for environmental Sustainability) yang bersidang buat pertama kalinya di Rio de Janeiro, Brazil pada 17 Jun 2012; · Pada bulan Disember 2012, YAA Tun turut dilantik menjadi salah seorang daripada sembilan ahli Majlis Penasihat Antarabangsa bagi Kemajuan Keadilan, Tadbir Urus dan Undang-Undang untuk Kelestarian Alam Sekitar (International Advisory Council for the Advancement of Justice, Governance and Law for Environmental Sustainability); SPREP The Honourable Society of Lincoln's Inn telah melantik YAA Tun sebagai INECE Honorary Bencher of Lincoln's Inn pada 4 Jun 2013, bagi mengiktiraf sumbangan dan ketokohan beliau memimpin Badan Kehakiman Malaysia; dan . Penaung, Commonwealth Judicial Education Institute (CJEI) Ketokohan Yang Amat Arif Tun Arifin bin Zakaria dalam menerajui bidang kehakiman bukan sekadar dikagumi di tanah air sahaja, malahan kehebatannya turut diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh masyarakat di luar negara apabila beliau dilantik menyandang pelbagai jawatan serta kedudukan dalam dunia perundangan dan kehakiman.

Antara penglibatan beliau di peringkat kebangsaan: 

  • Anggota Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan; 
  • Hakim Mahkamah Khas menurut Perkara 182(1) Perlembagaan Persekutuan; 
  • Pengerusi Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman; 
  • Presiden, Persatuan Undang-Undang Asean (ALA) Malaysia; 
  • Profesor Adjung, Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) (1 Oktober 2011 - 30 September 2013); 
  • Profesor Adjung, Ahmad Ibrahim Kulliyyah of laws, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (3 Mac 2014 - 2 Mac 2015)

Jasa dan sumbangan Yang Amat Arif Tun Arifin bin Zakaria terhadap negara terutamanya dalam perkembangan kemajuan sistem kehakiman amat disanjung tinggi sehingga melayakkan YAA Tun menerima pelbagai anugerah darjah kebesaran sebagai terjemahan pengiktirafan dan penghargaan terhadap beliau.

Antara darjah-darjah kebesaran yang diterima termasuklah:

i. Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M) (Persekutuan) (2 Jun 2012);

ii. Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) (Persekutuan) (6 Jun 2009);

iji. Darjah Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi I) (S.P.M.K) (Kelantan) (11 November 2014);

iv. Darjah Kebesaran Seri Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K) (Kelantan) (30 Mac 2005);

v. Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) (Selangor) (11 Disember 2012);

vi. Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M) (Perak) (22 Mei 2012); vii. Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P) (Pahang) (24 Oktober 2012);

viii. Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) (Pulau Pinang) (14 Julai 2012);

ix. Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K) (Sabah) (3 Oktober 2015);

x. Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P) (Perak) (19 April 2014); xi. Darjah Dato' Paduka Mahkota Kelantan (D.P.M.K) (Kelantan) (30 Mac 1999); dan

xii. Darjah Dato' Paduka Cura Simanja Kini (D.P.C.M) (Perak) (19 April 1988)

Yang Amat Arif Tun Arifin bin Zakaria juga telah menerima Anugerah ljazah Kehormat Doktor Undang-Undang dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu pada 6 Disember 2014. Yang Amat Arif Tun Arifin bin Zakaria telah banyak melakukan transformasi dalam Badan Kehakiman Negara setelah mengambil alih kepimpinan Badan Kehakiman daripada pimpinan Ketua Hakim Negara sebelum ini. Bagi YAA Tun, kelangsungan transformasi yang telah tercetus seawal tahun 2009 oleh Tun Zaki Tun Azmi, mantan Ketua Hakim Negara, perlu diteruskan demi menambah baik dan memantapkan kualiti sistem kehakiman negara.

Transformasi Badan Kehakiman yang dimulakan pada tahun 2009, telah berjaya menyelesaikan hampir 99 peratus kes tertunggak pra-2009 di mahkamah-mahkamah seluruh negara dalam tempoh lima tahun, berbanding tempoh 10 atau 12 tahun sebelumnya. Melalui transformasi ini juga, kesemua kes tertunggak pra-2009 di Mahkamah Majistret di seluruh negara telah dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun. Usaha ini memperlihatkan peningkatan mendadak dalam prestasi penyelesaian kes-kes tertunggak di mahkamah. Selain itu, sebagai Ketua Hakim Negara, YAA Tun sentiasa menitikberatkan usahake arahmemperkukuhserta memelihara integriti, kecekapan dan kebebasan Badan Kehakiman. Beliau turut menyokong dan meneruskan pembaharuan sedia ada selain memperkenal beberapa langkah serta pendekatan baharu bagi menaik taraf sistem penyampaian dan pelaksanaan keadilan nasional ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, bersandarkan amanah dan tanggungjawab yang digalas, YAA Tun sedaya upaya memastikan setiap pelaksanaan transformasi yang dilakukan hendaklah memberi impak yang tinggi terhadap sistem kehakiman negara.

Di peringkat Mahkamah Persekutuan, YAA Tun menambah bilangan panel dan persidangan Mahkamah Persekutuan yang bertujuan untuk mempercepat proses pendengaran kes rayuan. Beliau turut merealisasikan beberapa inisiatif baharu di peringkat Mahkamah Rayuan, khusus bagi mempercepat proses pelupusan kes. Ini termasuk menambah bilangan panel dan persidangan, penubuhan panel khas untuk mendengar rayuan interlokutari dan rayuan dari mahkamah rendah, memberi keutamaan kepada rayuan yang membabitkan hukuman mati serta penjawat awam, selain mempercepat rayuan dari Mahkamah Komersial Baharu (NCC) dan Mahkamah Sivil Baharu (NCVC). YAA Tun percaya bahawa satu tahap keyakinan yang tinggi serta kepastian terhadap integriti sistem kehakiman adalah perlu bagi menyediakan persekitaran yang lebih stabil khususnya persepsi positif kepada pelabur asing dalam menggalakkan perniagaan dan komuniti perniagaan pasaran tempatan.

Pengetahuan mendalam Tun Arifin dalam bidang undang-undang dan kehakiman bukan sahaja telah menyumbang kepada kemajuan sistem pengadilan negara, bahkan membawa kepada kesejahteraan sosial dan peningkatan ekonomi negara. Sesungguhnya, terlalu banyak sumbangan yang telah dicurahkan oleh YAA Tun Arifin kepada negara khususnya dalam memperkasakan badan kehakiman. Dengan pengalaman dan kebijaksanaan beliau yang sememangnya luar biasa membuktikan beliau seorang hakim yang teliti dan berwawasan. Hari ini, melalui sumbangannya yang begitu membanggakan, terutama sekali dalam bidang perundangan yang mempamerkan kebijaksanaan beliau dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Ketua Hakim yang disegani, terhormat dan tersohor dalam negara sehingga mampu mengharumkan nama negara di peringkat global.

Di bawah pimpinan YAA Tun, badan kehakiman negara telah melalui satu transformasi yang disokong di peringkat dunia. Ini dapat dilihat berdasarkan perakuan laporan bank dunia yang dikeluarkan pada tahun 2011 bertajuk Malaysian court backlog and delay reduction programme:A progress report. Menerusi kajian tersebut, bank dunia telah mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh badan kehakiman Malaysia. Bank dunia turut mencadangkan kepada kepada mana-mana negara yang ingin menjalankan transformasi dalam badan kehakiman untuk menjadikan Malaysia sebagai model utama.

Empat perkara utama yang diberi fokus dalam transformasi ialah perubahan pengurusan, infrastruktur, prosedur perundangan dan sumber mahkamah. Inisiatif transformasi terbesar adalah dengan melancarkan sistem e-Kehakiman iaitu pentadbiran kehakiman atas talian. Antara komponen di bawah sistem e-Kehakiman ini ialah e-Penfailan, Sistem Rakaman dan Transkripsi Mahkamah (CRT), Sistem Pengurusan Giliran (QMS), Sistem Pengurusan Kes (CMS) dan e-Kewangan Mahkamah.

Pada masa yang sama, YAA Tun telah memudahkan prosedur mahkamah melalui penggabungan Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah dan Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi kepada satu prosedur yang dikenali sebagai Kaedah-kaedah Mahkamah 2012. Inisiatif lain termasuk penyusunan semula secara komprehensif semua bilik fail dan pendaftaran seluruh sistem kehakiman; penubuhan sistem pengesanan kes pendaftaran tunggal dan pengenalan garis masa dan ukuran prestasi bagi penyelesaian kes. YAA Tun juga telah menubuhkan Mahkamah-mahkamah Khusus seperti Mahkamah Komersial; Mahkamah Perbankan Islam, Mahkamah Harta Intelek, Mahkamah Pembinaan, Mahkamah Koroner, Mahkamah GST, Mahkamah Rasuah, Mahkamah Alam Sekitar dan Mahkamah Admiralti.

Universiti Teknologi MARA dengan bangganya menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada Yang Amat Arif Tun Arifin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara. Semoga Tun Arifin bin Zakaria akan terus cemerlang mendukung amanah dalam menerajui badan kehakiman negara.

Dari kiri YBhg. Tan Sri Dato' Academician Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin (Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM), Yang Amat Arif Tun Arifin Zakaria, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar (Mantan Naib Canselor UiTM dan Penerima Anugerah Profesor Emeritus) dan YBhg. Prof. Emeritus Dato' Dr Hassan Said (Naib Canselor UiTM)

Sumber : Edisi Khas Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada Yang Amat Arif Tun Arifin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam