(Tengah) Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) menyampaikan watikah pelantikan kepada Prof. Dr. Shahanum binti Md. Shah sebagai Penyandang Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat pada 19 Disember 2025 disaksikan Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, Naib Canselor UiTM (kiri) dan YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) (dua dari kiri).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan tiga (3) orang sarjana sebagai penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua (2) tahun mulai 1 Disember 2025. Mereka ialah Prof. Dr. Shahanum binti Md. Shah sebagai Penyandang Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat; Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand; serta Prof. Dr. Indirawati @ Indrawati binti Zahid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University, China.
Pelantikan Prof. Dr. Shahanum binti Md. Shah, 60, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) menandakan pengiktirafan tinggi terhadap kepakaran beliau sebagai sarjana tersohor dalam bidang pendidikan muzik. Berkelulusan Doktor Falsafah dalam Pendidikan Muzik (Ethnomusicology and Administration) dari Indiana University, Amerika Syarikat pada tahun 2000, beliau telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan termasuk Penolong Naib Canselor Kolej Seni Kreatif (2022–2024), Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Kolej Pengajian Seni Kreatif (2022) serta merupakan Dekan Fakulti Muzik yang pertama. Keunggulan akademiknya turut dibuktikan menerusi penganugerahan National Band Figure Award (2023) serta penghasilan Graded Music Examination for Malay Traditional Music (2017), yang menjadi rujukan penting dalam usaha memartabatkan muzik tradisional Malaysia.
Selain pencapaian dalam negara, Prof. Dr. Shahanum juga mempunyai pengalaman antarabangsa yang luas sebagai pengajar dan penceramah di Jepun, Korea Selatan, Denmark, United Kingdom, Macau, Indonesia dan Thailand. Beliau turut mengetuai bengkel gamelan Melayu di Ohio dan North Carolina pada tahun 2011. Sejak 2009, beliau telah berkhidmat sebagai hakim pertandingan muzik di pelbagai negara dan kini menjadi panel Music Quality Enhancement Europe bagi tempoh 2024–2027. Dengan gabungan kepakaran muzik, pedagogi antarabangsa dan jaringan hubungan budaya, pelantikan beliau diyakini akan memperkukuh diplomasi pendidikan serta memperluas naratif seni dan identiti Malaysia di Ohio University.
Lantikan Prof. Dr. Shahanum mencatat sejarah sebagai Penyandang Kursi Tun Abdul Razak ke - 16. Terdahulu, jawatan ini juga pernah disandang oleh Dr. Habibah Ashari, Pengarah International Education College (INTEC) pada tahun 2011 hingga 2014.
Sumber : Siaran Media - KPT Lantik 3 Sarjana Sandang Kursi Akademik Luar Negara