ITM dan UKM melangkah Bersama dengan termetrinya memorandum persefahaman program matrikulasi dan program Sarjana muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua). Memorandum persefahaman ini ditandatangani bersama oleh Prof. Tan Sri Dato' Dr. Abdul Hamid Hj. Abdul Rahman, Naib Canselor UKM, Dato’ Dr Hj Mohd Mansor Hj Salleh, Pengarah ITM dan Pendaftar dari kedua-dua belah pihak. Majlis berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Pengarah ITM Shah Alam pada 23 Mac 1990.

Tan Sri Naib Canselor UKM berkata program ini dapat membantu negara mengatasi masalah kekurangan guru-guru Bahasa Inggeris. Katanya jika ditinjau perangkaan yang diperolehi dari Kementerian Pendidikan, kekurangan guru-guru terlatih untuk mengajar Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, akan terus dirasai, bahkan dijangka akan meningkat dalam masa lima tahun lagi.

Program matrikulasi (TESL) telah bermula dalam bulan Julai 1988 dan pelajar-pelajar yang diambil katanya adalah calon-calon yang ditaja oleh Kementerian Pendidikan. Kumpulan pertama pelajar-pelajar yang berjaya memasuki pengajian peringkat Ijazah akan mula berpindah ke UKM pada bulan Julai tahun ini. “Kejayaan ini adalah satu kebanggaan UKM dengan bermulanya program TESL. Kerjasama di antara UKM dan ITM ini menandakan satu lagi pencapaian yang dapat membantu negara melengkapkan rakyatnya dengan kemahiran bahasa Inggeris” tegas Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid.

Dato’ Pengarah ITM di dalam ucapannya pula menekankan bahawa program ini diwujudkan bagi melengkapkan anak-anak Buniputera dengan kemahiran menguasai Bahasa Inggeris. Ini adalah supaya mereka dapat maju ditengah-tengah masyarakat yang berteknologi canggih.

Rujukan:
ITM Dan UKM Meteri Usahasama Di Bidang Pendidikan Bahasa Inggeris. (1990, Mac). BERITA ITM, p.1.