 
Anugerah Kualiti telah dimulakan di universiti ini ketika masih bergelar Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1996. Ia diasaskan oleh Rektor ITM ketika itu bersama Unit Jaminan Kualiti. Merujuk kepada anugerah kualiti Malcolm Baldrige di Amerika Syarikat, beliau telah menubuhkan sebuah pasukan yang dinamakan ROKUM. ROKUM menjadi nadi penilai amalan kualiti di jabatan dan kampus cawangan berdasarkan elemen tujuh kriteria yang masih kekal hingga kini. Apabila ITM dinaikkan taraf kepada Universiti, Anugerah Kualiti ini telah dijenamakan kepada Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) bermula pada tahun 2000. Ia merupakan anugerah kualiti tahunan yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berjaya melaksanakan budaya kerja berkualiti dan cemerlang di peringkat universiti.
AKNC merupakan model penilaian berasaskan Model Anugerah Malcolm Baldrige (Pendidikan) yang dijadikan rujukan oleh UiTM untuk menonjolkan amalan budaya kualiti di setiap PTJ melalui pelaporan pencapaian fakulti, jabatan dan kampus masing-masing. Model kecemerlangan ini memberi penekanan kepada aspek kepimpinan, perancangan strategik, fokus pelanggan, keutamaan ukuran dan analisis, pengurusan sumber manusia serta operasi proses, dengan tumpuan utama terhadap produk atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh PTJ terlibat.
Berbeza dengan Anugerah Baldrige yang menilai kecemerlangan pelbagai organisasi dan agensi, peranan AKNC adalah untuk memupuk amalan budaya kualiti PTJ dalam UiTM melalui hasil dan bukti pelaksanaan di peringkat universiti. Selepas lebih dua dekad pelaksanaannya, penambahbaikan terhadap AKNC dilaksanakan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi semasa selaras dengan Pelan Strategik UiTM 2025.
Sehubungan itu, pada Januari 2020, Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) telah mengambil inisiatif membangunkan satu platform dalam talian untuk mengurus pelaksanaan AKNC secara menyeluruh. Platform berasaskan sistem maklumat pintar bersepadu ini dinamakan sebagai i-AKNC (Vice Chancellor’s Intelligent Quality Award).
Pembangunan i-AKNC dilaksanakan bagi memperkemas proses 4P (Penulisan, Penilaian, Pengesahan dan Penganugerahan) dalam pelaksanaan AKNC yang melibatkan penyediaan laporan, penghantaran laporan, penilaian, pengurusan pemarkahan dan penganugerahan. Secara keseluruhannya, sistem ini menjadikan semua proses pelaksanaan lebih tersusun, menjimatkan masa dan kos, telus serta selamat.
 
Pembangunan i-AKNC berasaskan Kitar Hayat Pembangunan Sistem (System Development Life Cycle) yang merangkumi fasa perancangan, pengumpulan dan analisis keperluan, reka bentuk, pembangunan pengaturcaraan, ujian serta penyelenggaraan bagi menghasilkan sistem berkualiti tinggi. Penglibatan pihak berkepentingan turut diberi penekanan sepanjang keseluruhan kitar hayat pembangunan sistem ini.
Pelaksanaan i-AKNC mencerminkan komitmen berterusan InQKA dalam memperkukuh budaya kerja berkualiti dan cemerlang di UiTM melalui tadbir urus AKNC yang lebih mesra pengguna, efisien dan berintegriti. Objektif utama i-AKNC (Vice Chancellor’s Intelligent Quality Award) adalah untuk menyediakan kemudahan kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam menulis dan menjana laporan AKNC yang komprehensif melalui sistem maklumat dalam talian yang bersepadu dan efisien. Inisiatif ini memastikan setiap PTJ dapat melaksanakan proses pelaporan dengan lebih sistematik, tepat dan mudah diakses. Selain itu, i-AKNC bertujuan mewujudkan proses penganugerahan, penilaian dan penilaian kerja AKNC yang konsisten serta berintegriti. Pendekatan ini menekankan ketelusan dan keadilan dalam setiap peringkat pelaksanaan bagi menjamin kualiti serta kredibiliti hasil penilaian.
 
Dalam masa yang sama, pembangunan i-AKNC turut memberi tumpuan kepada pembentukan persekitaran kerja yang mesra pengguna dan konstruktif, berteraskan konsep kelestarian teknologi dan inisiatif Greenation@UiTM. Langkah ini sejajar dengan komitmen UiTM untuk mengamalkan transformasi digital yang lestari serta menyokong agenda hijau universiti.
 
