Shah Alam, 17 Oktober 2024 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam hari ini menyambut kedatangan 6 orang pelajar antarabangsa dalam pengkhususan Bachelor of Library Science dari Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga (UIN), Yogyakarta, Indonesia. Mereka tiba bersama dua orang pensyarah dan akan menjalani latihan industri selama 4 minggu yang difokuskan dalam bidang pengurusan perpustakaan.
Program latihan ini akan dikendalikan oleh pustakawan berpengalaman di PTAR, yang bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu serta kemahiran praktikal dan insaniah terkini kepada para pelajar. Pengalaman yang diperoleh melalui latihan ini dijangka akan memberikan input yang berguna dan relevan dengan pembelajaran akademik mereka, di samping memperlengkapkan mereka untuk memenuhi keperluan dan tugasan dalam perkhidmatan perpustakaan.
Selain daripada pelajar-pelajar dari Indonesia, PTAR kini turut menempatkan 7 orang pelajar dari Malaysia dan 2 orang dari Thailand yang sedang menjalani latihan industri di perpustakaan tersebut. Kehadiran pelajar antarabangsa ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama akademik antarabangsa, serta memperkayakan pengalaman pembelajaran di kalangan pelajar dan staf perpustakaan.
Latihan industri ini diharap akan menjadi pengalaman berharga kepada para pelajar, di samping membuka ruang untuk perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam bidang pengurusan perpustakaan.
Terdahulu, Pustakawan PTAR telah membuat pembentangan perkongsian ilmu berkaitan latihan industri bersama pihak UIN Sunan Kalijaga. - Sesi Perkongsian Ilmu oleh PTAR di Kuliah Pakar Internasional, UIN Sunan Kalijaga: Persediaan Menghadapi Latihan Industri Antarabangsa
Pautan berkaitan: