Gombak, 18 Oktober 2024 – Bersempena IIUM Book Festival 2024, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) telah menjemput Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam untuk mengadakan Bengkel Bacaan Pantas di Seminar Room 1, Kulliyyah of Architecture & Environmental Design (KAED).
Bengkel selama dua jam ini dikendalikan oleh Cik Ummi Halimatunssaadiyya dan dihadiri oleh 16 orang peserta yang terdiri daripada staf serta pelajar IIUM. Tujuan utama bengkel adalah untuk membantu peserta memaksimumkan keberkesanan pembacaan dengan memperkenalkan teknik membaca dengan pantas, sekali gus meningkatkan produktiviti akademik dan peribadi mereka.
Peserta diajar cara mengukur kecekapan membaca dan menggunakan teknik-teknik yang dikongsi dalam bengkel ini bagi membaca lebih banyak dalam waktu yang singkat. Latihan ini dijangka memberi manfaat kepada peserta dalam memperkayakan pengalaman membaca mereka dan mengembangkan minat terhadap ilmu pengetahuan.
Kolaborasi antara PTAR dan IIUM ini bukan sahaja memperluas akses kepada ilmu bacaan pantas tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk meneroka kaedah membaca efektif yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Bengkel Bacaan Pantas ini merupakan salah satu daripada 10 skop Talent Pool di PTAR. Mana-mana institusi atau agensi yang berminat untuk mendapatkan tenaga pengajar dalam bidang ini boleh menghubungi Ketua Pustakawan UiTM bagi maklumat lanjut.