Pada Selasa, 31 Oktober 2023 telah berlangsung program hari terbuka, PTAR Rembau Fest 2023 yang dianjurkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau dengan kerjasama kelab PTAR Buddies, Majlis Perwakilan Pelajar, Jawatankuasa Perwakilan Komander Kesatria dan Jawatankuasa Sukan Pelajar. Program hari terbuka tersebut berlangsung bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang dan disertai oleh pelajar-pelajar UiTM Kampus Rembau. Program ini secara tidak langsung menyokong kepada program inisiatif Read@UiTM menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersama para peserta.
Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pertandingan ulasan buku, Share What You Read S2. Pertandingan ini yang diadakan buat kali kedua selepas diadakan semasa program PTAR Rembau Fest 2022. Kali ini, juri-juri khas dijemput untuk menilai peserta-peserta pertandingan tersebut.
Selain itu, PTAR juga menganjurkan pertandingan deklamasi sajak, Young Poet 2023, yang julungkali diadakan. Pertandingan ini membuka peluang kepada pelajar dalam menunjukkan bakat masing-masing dalam penyampaian sajak sama ada di dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Bukan sahaja kelancaran, pertandingan ini juga menyaksikan kreativiti peserta dalam menyampaikan sajak, intonasi, bahasa tubuh dan tema sajak.
Program diteruskan lagi dengan slot Talk@PTAR: Speak English Confidently, yang disampaikan oleh Encik Mohd Faisal Md Noor, pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau. Sesi ini memberi perkongsian kepada penonton bagaimana untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dengan lebih yakin untuk kegunaan sehari-harian.
Seterusnya, PTAR juga menganjurkan pertandingan pengucapan awam, Speak Louder! 2023. Pertandingan ini membuka peluang kepada pelajar untuk mengasah dan menunjukkan bakat masing-masing dalam penyampaian topik-topik semasa.
Tirai program ditutup dengan acara perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan yang dianjurkan.