Taklimat Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang merupakan program yang dijalankan bersempena Minggu Destini Siswa (MDS) bersama dengan para pelajar baharu sesi Oktober 2021 hingga Februari 2021. Taklimat yang bertarikh 28 September 2021 ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang (PUiTMCPh) yang terdiri daripada Perpustakaan Al-Bukhari (PAB) Kampus Jengka dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kampus Raub serta perkhidmatan perpustakaan yang disediakan secara fizikal dan atas talian. Taklimat yang dikendalikan oleh Cik Muniratul Husna binti Mohamad Zaki, Pustakawan dari Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang ini menjurus kepada objektif perpustakaan, piagam pelanggan, sejarah penubuhan perpustakaan serta pengenalan barisan pengurusan Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang. Sasaran utama PUiTMCPh adalah untuk memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan yang disediakan khusus untuk warga UiTM serta menjadi pusat kecemerlangan maklumat yang sentiasa kekal relevan dan dirujuk oleh semua pihak.
Di akhir sesi taklimat, mahasiswa dipelawa untuk bersama-sama menyertai sesi kuiz atas talian yang dikendalikan oleh tiga orang pelajar praktikal di Perpustakaan Al-Bukhari iaitu Cik Nur Aini Shafiqah binti Mazmi, Encik Muhammad Aiman Muzammil bin Muda dan Cik Anis Shafika binti Ismail. Aktiviti kuiz atas talian ini telah menarik minat para pelajar sekaligus melatih mereka supaya sentiasa proaktif sepanjang sesi pembelajaran mereka di UiTM Cawangan Pahang. Taklimat Perpustakaan bersama mahasiswa UiTM Cawangan Pahang ini diteruskan dalam sesi Minggu EDU 5.0@UiTM yang akan dijalankan pada 5 Oktober 2021 bertajuk “Information Literacy Class”.