YAB. Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri Malaysia sedang memberi ucapannya pada Upacara Peletakan Batu Asas ITM Batu Tiga, Jalan Klang Selangor

"Tiap-tiap penuntut MARA baik lelaki mahupun perempuan yang berdiri di hadapan khalayak ramai petang ini mestilah mensifatkan istiadat meletak batu asas Institut Teknologi MARA sebagai satu ketika riwayat hidup mereka itu bagi meletakkan batu asas pendirian mereka itu sendiri yang teguh lagi bermakna, bersendikan semangat yang cergas lagi dinamis untuk menyambut dan menjunjung hasrat amanah rakyat bumiputera pada mereka itu supaya mencari ilmu pelajaran, latihan dan kemahiran yang betul-betul akan menukarkan cara dan corak mereka itu berfikir dan hidup dengan lebih mewah, mulia, kaya dan segar yang benar-benar akan memberi makna pada bangsa dan nusa mereka itu kelak. Bangunan batu, khutub khanah berhawa dingin, bilik makmal dan tapak yang lebih lebar ini tidak akan menjadi Maktab atau ITM yang berguna jikalau pandangan penuntut tidak saujana dan fikiran, kemahuan dan semangat mereka tidak dinamis. Saya pulangkanlah pada penuntut-penuntut dan ibu bapa sekalian supaya memberi sumbangan dan menerusi fikiran yang bernas, tenaga yang kuat dan semangat mahu menyelidik dan mendalam ITM ini seimbang dengan kemajuan-kemajuan dan perkembangan-perkembangan yang diamanatkan oleh rakyat Bumiputera pada kita sekalian untuk mendirikannya. Sekarang, dengan beberapa sukacitanya saya merasmikan peletakan batu asas ITM di Batu Tiga ini."

Upacara Simbolik Peletakan Batu Asas ITM Batu Tiga oleh YAB. Tun Abdul Razak bin Hussein diiringi Pengarah Maktab MARA, En. Arshad Ayub

Sumber:

  • Achieving A Dream..a story of courage
  • Koleksi gambar Jabatan Arkib Universiti, UiTM