MACHANG, 21 November – Bersempena dengan Festival Cakna Lestari (Fes-CALE) 2023, Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) Kampus Machang dengan kerjasama Unit Kampus Hijau UiTM Cawangan Kelantan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Kelantan Sesi 2022/2023 dan Perpustakaan Tengku Anis Reader’s Club (PTARC) telah menganjurkan Program “Greenation Speak Up@PTA”. Program ini telah dijalankan di Ruang LCE, PTA UiTM Cawangan Kelantan.

Program ini melibatkan mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) untuk menyuarakan pandangan, idea dan perancangan program yang menyokong kelestarian kampus. Tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk memupuk keyakinan mahasiswa dalam membuat pengucapan awam di hadapan khalayak ramai. Program dimulai dengan ucapan daripada pengarah program iaitu Saudari Nur Afdlin Syahmi Ahad, Presiden PTARC dan diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTMCK.

Seramai 9 orang peserta telah membuat pengucapan dan menyuarakan pandangan mereka mengenai alam sekitar dalam masa yang telah diberikan.

Program ini telah berjalan dengan jayanya dan semoga ianya dapat mencungkil, menggilap dan menyerlahkan bakat para peserta untuk berinteraksi di khalayak ramai sekaligus memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai tanggungjawab, peranan dan penglibatan mereka dalam membantu pihak pengurusan universiti memelihara dan melestari persekitaran kampus.

Pihak PTA mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta atas keberanian dan keyakinan mereka untuk menyahut cabaran ini. Diharapkan juga program ini dapat memberi impak positif kepada para peserta dengan terus berkarya dalam bidang pengucapan awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *