22 Disember 2023, Jumaat – Pelajar Diploma Pengurusan & Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, iaitu kumpulan MBA1185A dan MBA1185B yang diketuai oleh Ketua Projek iaitu saudari Nur Syasya Harsual Effendi, dengan kerjasama pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah dan Unit Kerjaya dan Kaunseling UiTM Cawangan Melaka telah menganjurkan Program Silang Suwai “Relap Rumbunan Budaya”.

Seramai 20 orang anak orang asli Kampung Orang Asli Bukit Payung telah terlibat dengan program ini. Program juga turut dihadiri oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Payung, iaitu Encik Nur Isjemei Ismail dan isteri.

Program bertemakan kebudayaan dan khidmat masyarakat ini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan interaksi sosial di kalangan para peserta yang terdiri daripada orang asli Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka dan mahasiswa UiTM Cawangan Melaka, selain dapat mempelajari silang budaya dalam pelbagai aspek.

Aktiviti yang dijalankan dalam program ini melibatkan 4 teras Silang Suai iaitu Silang Emosi, Silang Rencana (Speaker Corner), Silang Sosial dan Silang Santai, di mana setiap aktiviti ini mensasarkan objektif aktivitinya tersendiri.

Program ini telah diadakan di Ruang Library Community Engagement (LCE) PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga jam 3.00 petang.

Antara objektif utama program ini diadakan adalah :

1. Menerapkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan di kalangan orang asli

2. Menggalakkan interaksi sosial dan mewujudkan platform untuk para peserta menjalani aktiviti silang budaya bagi memupuk semangat saling mengenali

3. Menghormati dan meraikan perbezaan budaya masing-masing

Bagi aktiviti Speaker Corner berkonsepkan Silang Rencana “Antara 2 Latar”, adalah aktiviti interaktif suai kenal antara para peserta yang dikendalikan oleh pihak PTAR sendiri dan dihadiri seramai 40 orang peserta.

Aktiviti ini dapat membantu peserta meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri apabila dapat bertukar idea, pandangan dan pengalaman sesama mereka seperti pengalaman mahupun cabaran dalam proses menerima pendidikan dan meneruskan pembelajaran.

Selain itu, ia juga dapat merapatkan ukhwah dan silaturrahim antara mereka dalam mengenali budaya masing-masing. Seramai 4 orang wakil pelajar telah membuat perkongsian masing-masing terdiri daripada 2 orang pelajar UiTM, iaitu saudara Dominic Samuel dan saudara Issac Ryan, manakala 2 orang pelajar orang asli Kampung Orang Asli Bukit Payung, iaitu adik Fazelina Harman dan adik Daviee Cleressa.

Majlis Perasmian Penutup telah dirasmikan oleh Encik Maz Izuan Mazalan, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, UiTM Cawangan Melaka. Dalam majlis ini juga, persembahan deklamasi sajak telah dideklamasikan oleh saudari Nurul Anisah Mohd Alizan serta majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *