Pada 5 Januari 2023, Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah menganjurkan Program UiTM Dihatiku: Kembara Ilmu MRSM Balik Pulau melibatkan 130 orang pelajar MRSM dan 7 orang guru pengiring. Program ini adalah anjuran bersama pihak PTAR, Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Farmasi serta kolaboratif bersama MRSM Balik Pulau. Ia merupakan program yang bertujuan mendedahkan dan mempromosi kursus-kursus yang ditawarkan oleh UiTM Kampus Bertam.

Antara aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak PTAR adalah Bengkel Bacaan Pantas (Speed Reading). Bengkel ini telah disampaikan oleh Puan Farleen Azrina Zamberi, Pustakawan Kanan PTAR Kampus Permatang Pauh dan dibantu oleh Puan Nurhayati binti Hassan dan Cik Nor Azilawati Mohamad Azmi. Bengkel selama 2 jam ini diadakan di Dewan Kuliah 1 Blok Akademik, UiTMCPP Kampus Bertam. Pelajar-pelajar dan guru-guru MRSM Balik Pulau didedahkan kepada pengenalan, kaedah membaca yang berkesan, serta taklimat mengenai Bacaan Pantas. Setelah itu, pelajar-pelajar MRSM diberikan dua jenis teks dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai latihan. Para pelajar diminta untuk membaca teks tersebut dengan pantas bagi menguji kepantasan mereka membaca.  Beberapa pelajar turut dijemput ke hadapan untuk berkongsi pandangan mereka mengenai Bengkel Bacaan Pantas. Walaupun bengkel ini dijalankan dalam masa yang singkat, namun ia merupakan aktiviti yang sangat berinformatif dan bermanfaat kepada para pelajar MRSM Balik Pulau.

Selain itu, turut diadakan aktiviti Kembara Ilmu Fakulti Farmasi dan Kembara Ilmu Fakulti Sains Kesihatan. Dimana pelajar-pelajar didedahkan tentang kerjaya di dalam bidang sains kesihatan dan farmasi. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bermatlamat memberi manfaat dan informasi kepada para pelajar MRSM yang bakal memilih kerjaya serta hala tuju mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *