PTAR UiTM Kampus Puncak Alam telah mengadakan Kursus Pemantapan Organisasi Pengawas Pusat Sumber Sekolah dan Kem Jawi Dihatiku pada 24 Mac 2022 untuk memberi manfaat dan peluang kepada pelajar-pelajar SK Puncak Alam menimba ilmu berkenaan dengan sistem perpustakaan yang lebih teratur dan efisian.

Pelaksanaan kursus ini adalah rentetan daripada termeterainya Memorandum Persefahaman (MOU) antara UiTM Cawangan Selangor (UCS), Kampus Puncak Alam dengan SK Puncak Alam pada 9 Disember 2021 lalu. Atas kelangsungan tersebut PTAR UiTM Kampus Puncak Alam telah berkolaborasi dengan pihak iCARE UCS dan UHEI UiTM Cawangan Selangor mengadakan kursus ini.

Antara pengisian Kursus Pemantapan Organisasi Pengawas Pusat Sumber Sekolah dan Kem Jawi Dihatiku adalah Program Book Review kepada pelajar SK Puncak Alam. Program yang dilaksanakan secara bersemuka ini telah disampaikan oleh Puan Hafiza Mustape, Pustakawan Kanan, PTAR Kampus Puncak Alam. Program yang julung kalinya dilaksanakan bersama pelajar sekolah rendah ini telah dihadiri seramai 40 orang pelajar tahun 4, 5, dan 6 yang terdiri daripada Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Turut sama 5 orang guru pengiring dan juga Guru Besar En. Norhamidi Mohd Ansor.

Perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Ahmad Sazali Hamzah, Rektor UiTM Cawangan Selangor di Aras 4, PTAR Kampus Puncak Alam. Majlis perasmian turut dihadiri oleh Tn. Ts Mohamad Hamidi Mohd Jais, Ketua Timbalan Pustakawan, Profesor Madya Sr. Dr. Rosmadi Ghazali, Timbalan Rektor iCARE, Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni & Keusahawanan (iCARE), Al-Fadhil Ustaz Saiful Anuar Mohamed Sani, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UHEI, pegawai-pegawai iCARE, UHEI dan pustakawan-pustakawan PTAR UCS.

Antara objektif penganjuran program ini adalah :

  1. Memberi kesedaran kepentingan membaca di kalangan pelajar sekolah.
  2. Memupuk amalan cintai ilmu dan melahirkan generasi yang berpengetahuan, pemikir dan kreatif.
  3. Mempromosikan UiTM kepada komuniti setempat dan masyarakat luar
  4. Memberi perkhidmatan sedia ada di universiti kepada masyarakat setempat dengan memanfaatkan fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan.
  5. Memberi pendedahan kepada komuniti tentang kepakaran yang sedia ada untuk dikongsikan.

Pihak perpustakaan menerima maklumbalas yang sangat positif daripada pelajar dan juga guru sekolah. Diharap program ini dapat menanam minat dikalangan pelajar untuk menyambung pelajaran ke UiTM. Semoga program-program sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *