Coffee Talk With Rozie (CTWR) Bersiaran Di Ruang Media, PTAR Shah Alam

Shah Alam, 16 Februari 2023 – Coffee Talk With Rozie (CTWR) tahun 2023 telah membuka tirainya  apabila buat pertama kali telah bersiaran secara langsung di Ruang Media, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Shah Alam. 

CTWR merupakan sebuah  rancangan bual bicara informasi yang dihoskan oleh Naib Canselor UiTM Prof. Ts. Datuk Dr. Roziah Mohd Janor, 

Program CTWR kali ini telah mengundang Penolong Naib Canselor (Strategi) Prof. Ts. Dr. Nor Hayati Saad bagi mengupas lebih lanjut berkenaan topik “The Next Chapter: UiTM in Pursuit of Becoming a Globally Marketable University in 2023”. 

Sebagai peneraju Bahagian Transformasi Universiti (BTU), Prof. Ts. Dr. Nor Hayati telah menerangkan secara ringkas dan padat tentang peranan BTU sebagai bahagian yang mengurus dan memantau Pelan Strategik UiTM 2025 keseluruhannya. 

Pelan Strategik UiTM 2025 yang telah dilancarkan pada 6 Februari 2020 bermatlamat menjadikan UiTM sebagai Universiti Tersohor tahun 2025. Justeru, peranan BTU amat penting bagi memudahcara Pengarah Peneraju Universiti menggerakkan Petunjuk  Prestasi Utama (Key Perfomance Indicator-KPI) dan Petunjuk Prestasi (Performance Indicator-PI) di setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) universiti. 

Terdapat  50 PTJ yang terdiri daripada 23 fakulti dan kolej pengajian, 13 kampus negeri dan 14 Pusat Kecemerlangan (Centres of Excellence-COE) terlibat secara langsung dalam menggerakkan KPI dan PI universiti. 

Tambah Prof. Ts. Dr. Nor Hayati lagi, setiap warga universiti mempunyai fungsi masing-masing berpandukan misi dan visi universiti. Projek-projek inisiatif yang bersasar telah dirancang, dinilai dan digerakkan bersama-sama PTJ yang terlibat. Agihan sasaran pencapaian ialah berdasarkan formula kekuatan PTJ dan polisi semasa disamping sesi libat urus, komunikasi yang berkesan  dan  sokongan berterusan agar matlamat utama universiti tercapai. 

Banyak lagi perkongsian menarik oleh Prof. Ts. Dr. Nor Hayati termasuklah strategi BTU mengurus dan menggerakkan keseluruhan PTJ, pengurusan data penting universiti, penghasilan pelaporan pencapaian universiti, pencapaian UiTM tahun 2022, fokus tahun 2023, perancangan BTU dan tindakan penambahbaikan yang harus difahami oleh seluruh warga UiTM.     

Program CTWR turut menayangkan montaj aktiviti-aktiviti berimpak UiTM di seluruh negara. Pada siaran kali ini, CTWR telah menayangkan aktiviti UiTM cawangan Kelantan iaitu Ladang Nenas Bukit Ilmu dan produk Batik Kemuning. Selain itu, montaj UiTM Gifts oleh Pejabat Naib Canselor dan perkhidmatan digital Better Talk oleh Pusat Kerjaya & Kaunseling UiTM turut dipaparkan sebagai kandungan CTWR kali ini. 

Seterusnya, CTWR telah mengundang Worlds Most Highly Cited Researcher for Five Consecutive Years Prof. Dr. Biswajeet Pradhan. Beliau merupakan founding director of Centre for Advanced Modelling and Geo-spatial Information Systems (CAMGIS)di University of Technology Sydney, Australia. Mempunyai latarbelakang yang amat menarik dalam penyelidikan dan penerbitan, Prof. Dr. Biswajeet telah berkongsi pandangan beliau tentang penyelidikan Geospatial, pengurusan masa sebagai penyelidik dan pensyarah dan pandangan peribadi beliau mengenai UiTM. 

Buku CTWR 2022 berjudul Coffee Talk With Rozie at the Forefront of Internalising the Global Goals turut dilancarkan oleh Naib Canselor UiTM. Kandungan utama buku ini ialah tentang isu SDG yang dibicarakan pada 12 episod CTWR tahun lalu. Buku CTWR ini akan diedarkan secara fizikal kepada semua PTJ UiTM disamping boleh dilayari secara digital. Beliau turut mengumumkan lima naskhah buku CTWR akan diserah kepada PTAR selepas tamat siaran langsung CTWR pada hari ini. 

Sebelum CTWR berakhir, Naib Canselor UiTM telah merakamkan ucapan tahniah buat PTAR atas pencapaian Top 60 Ranking Web Of Repositories bagi edisi ke-15 Transparent Ranking Institutional Repositories oleh Google Scholar. 

Untuk tidak melepaskan peluang, Prof. Ts. Datuk Dr. Roziah telah menandatangani plak program CTWR episod 1/2023 di Ruang Media, PTAR Shah Alam sebagai tanda kenang-kenangan. Program CTWR kali ini turut merekodkan jumlah tontonan tertinggi sehingga 1,100 orang penonton semasa program ini berlangsung.   

Warga PTAR amat berbesar hati dan merakamkan setinggi penghargaan atas sokongan Naib Canselor UiTM terhadap PTAR selama ini. 

Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply