Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility
Konvensyen Guru Perpustakaan Dan Media (GPM) 2025

Konvensyen Guru Perpustakaan Dan Media (GPM) 2025

KONVENSYEN GURU PERPUSTAKAAN DAN MEDIA (GPM) 2025

“TRANSFORMASI PENDIDIKAN DIGITAL”.

 

Pertubuhan Guru Perpustakaan dan Media Malaysia (PGPMM) Cawangan Kelantan dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Perpustakaan Tengku Anis (PTA) serta Fakulti Sains Maklumat (FSM) UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Konvensyen Guru Perpustakaan dan Media (GPM) 2025 bertemakan “Transformasi Pendidikan Digital 2025” bertempat di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan.

Konvensyen yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 4.15 petang itu menghimpunkan ratusan peserta yang terdiri daripada guru perpustakaan dan media, pustakawan serta warga pendidik dari seluruh Kelantan.

 

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBrs. Tn. Haji Azizi Haji Jantan, Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA, manakala majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Turut hadir sebagai tetamu jemputan ialah En. Zulkifli Hj. Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

 

Menurut penganjur, konvensyen ini bertujuan memperkukuh peranan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dalam mendepani cabaran pendidikan era digital selain menjadi platform untuk perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik. Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk inovasi teknologi dalam pendidikan, kepelbagaian sumber digital serta pengukuhan sokongan terhadap pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

Program ini turut mendapat penajaan daripada Geng Buku dan S-Lib Sistem Pengurusan Pusat Sumber.

 

Konvensyen GPM 2025 disifatkan sebagai medan penting bagi memperkasakan kompetensi warga pendidikan dalam menyokong agenda transformasi pendidikan digital negara menjelang 2025.