16 Julai 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah sekali lagi menganjurkan Sesi Libat Urus bersama Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) bertempat di Aras 2, Perpustakaan Sultan Badlishah. Sesi ini telah berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan melibatkan penyertaan seramai 20 orang pensyarah FSPPP. Program ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara perpustakaan dan fakulti dalam usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan sokongan akademik kepada warga universiti.
Sesi ini telah dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Binti Wan Chin, Pustakawan Kanan, bersama dua orang pustakawan iaitu Encik Mohd Amiruddin Mohd Nasir, Pustakawan Kanan dan Puan Atirah Ruslan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP). yang mana antara perkara yang dikongsikan dalam sesi ini termasuklah capaian koleksi digital, perkhidmatan literasi maklumat, sistem permohonan bahan, serta sokongan penyelidikan kepada fakulti. Perkongsian ini memberi pendedahan lebih meluas kepada pensyarah mengenai pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan oleh perpustakaan. Maklumat ini membuka ruang kepada pensyarah untuk lebih aktif memanfaatkan perkhidmatan PSB dalam pengajaran dan penyelidikan.
Sesi libat urus ini juga telah membuka ruang perbincangan dua hala yang konstruktif antara PSB dan FSPPP, khususnya dalam aspek penambahbaikan koleksi akademik, penggunaan sistem pangkalan data oleh pensyarah dan pelajar, serta kerjasama dalam penganjuran bengkel penyelidikan. Selain itu, PSB turut membentangkan statistik penggunaan perkhidmatan dan maklum balas positif yang diterima terhadap pelbagai program pembudayaan ilmu yang telah dijalankan sepanjang tahun.
Secara keseluruhannya, sesi ini berjaya merapatkan hubungan strategik antara Perpustakaan Sultan Badlishah dan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi. PSB komited untuk terus melaksanakan sesi libat urus bersama semua fakulti dalam usaha memastikan penyampaian perkhidmatan perpustakaan yang lebih relevan, berfokus dan memenuhi keperluan semasa warga akademik UiTM Cawangan Kedah.